Tiga lelaki cederakan pelanggan restoran didakwa

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah seorang pelanggan di sebuah restoran pada 7 Mei lalu. – RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata terhadap seorang pelanggan di sebuah restoran di Kepong, pada 7 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wong Weng Luen, 49; Lai Kae Bin, 33; dan Wan Ken Fei, 30 dinamakan sebagai tertuduh.
  • Didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34.
  • Permohonan jaminan ditolak; sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun untuk serahan dokumen.

Tertuduh, Wong Weng Luen, 49; Lai Kae Bin, 33; dan Wan Ken Fei, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Andrew Teh Tiek Hua, 47, menggunakan senjata atau cara berbahaya di sebuah restoran di Jalan Kepong kira-kira pukul 2 pagi pada 7 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah. – RTM

Mereka didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal yang tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Peguam, S. Narasimhan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana kesemua tertuduh telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan dan menetapkan 15 Jun depan sebutan semula kes bagi serahan dokumen.