
HULU LANGAT, 15 Mei – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengarahkan sebuah premis pencucian pasir di kawasan Taman Sri Nanding, Hulu Langat menghentikan operasi serta-merta selepas dikesan menjadi punca peningkatan kekeruhan di Sungai Sub, semalam.
- LUAS mengarahkan premis pencucian pasir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat menghentikan operasi serta-merta.
- Peningkatan kekeruhan dikesan kira-kira 3.40 petang di Sungai Sub, berpotensi menjejaskan operasi LRA Sungai Langat hilir.
- Pensampelan dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan.
- LUAS sahkan tiada henti tugas LRA Sungai Langat; pemantauan dan rondaan 24 jam dijalankan sebagai langkah mitigasi.
LUAS dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan kekeruhan itu dikesan kira-kira pukul 3.40 petang di Sungai Sub yang merupakan anak sungai kepada Sungai Langat dan berpotensi memberi impak kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat yang terletak di hilir sungai berkenaan.
Susulan itu, pasukan LUAS segera menjalankan semakan di lapangan sebelum mendapati insiden berkenaan berpunca daripada aktiviti pencucian pasir yang dijalankan oleh premis terbabit.
“LUAS telah mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis tersebut untuk menghentikan operasi dan melaksanakan kawalan pelepasan di premis serta-merta,” menurut kenyataan di Facebook LUAS.

LUAS berkata, pensampelan turut dilakukan di beberapa lokasi termasuk di aliran Sungai Sub sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tujuan tindakan penguatkuasaan.
Katanya, tindakan turut diambil susulan ketidakpatuhan syarat lesen oleh premis terbabit yang berlesen di bawah Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 atau Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
Dalam masa sama, LUAS memaklumkan tiada henti tugas dilaporkan melibatkan LRA Sungai Langat dan keadaan semasa sungai masih terkawal.
“LUAS sentiasa siap siaga bagi sebarang tindakan mitigasi segera sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
“LUAS juga berada di tapak selama 24 jam bagi melaksanakan pemantauan statik dan rondaan di kawasan sensitif serta kawasan yang dikenal pasti,” jelas kenyataan tersebut.