Bot karam: Seorang lagi PATI ditemukan maut

Terdahulu tengah hari semalam, satu mayat ditemukan PSC 16 milik Pasukan Polis Marin (PPM) di kedudukan kira-kira 4.8 batu nautika Timur Laut dari lokasi kejadian, sebelum penemuan mayat pada pukul 7.40 malam. Foto Maritim Malaysia

LUMUT, 15 Mei – Satu lagi mayat mangsa bot karam membawa warga Indonesia di perairan Pulau Pangkor ditemukan malam tadi, menjadikan jumlah mangsa maut setakat ini 10 orang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat lelaki ditemukan nelayan pada kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.
  • Mayat dipindahkan ke aset PPM dan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.
  • Operasi SAR hari kelima disambung pada pagi untuk mencari empat lagi mangsa yang hilang.
  • Kejadian 11 Mei: bot dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor; 23 diselamatkan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat lelaki itu ditemukan nelayan pada 7.40 malam pada kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.

“Mayat dipindahkan ke aset Pasukan Polis Marin (PPM) PSC 16 dari vesel nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh pada 9.35 malam untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Maritim memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima diteruskan pada 7 pagi tadi bagi mencari empat lagi mangsa yang hilang.

Dalam kejadian 11 Mei, sebuah bot dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin Indonesia dilaporkan karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia.

Pada hari kejadian, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan.