
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pelanjutan tempoh sah laku pasport Malaysia kepada 10 tahun bakal memberi manfaat besar kepada rakyat menerusi penjimatan kos, pengurangan urusan pembaharuan pasport serta kemudahan merancang perjalanan.
- Profesor Mazlan Ali: sah laku lebih panjang bukti usaha kerajaan memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam demi kemudahan rakyat.
- Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban menyatakan jabatan bersedia melaksana perubahan berkaitan tempoh sah laku.
- Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 diterbitkan; kadar RM350 ditetapkan dan pelaksanaan dijangka tahun ini.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, tempoh sah laku lebih panjang bukti usaha berterusan kerajaan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kemudahan rakyat.
“Ini memberi kelegaan kepada rakyat dan saya percaya rakyat amat berterima kasih kepada dasar serta inisiatif kerajaan yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya kepada RTM.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menyatakan kesediaan pihaknya melaksana perubahan berkaitan tempoh sah laku pasport hingga 10 tahun.
Tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.
Merujuk Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada Rabu lepas, pasport Malaysia baharu dengan tempoh sah laku hingga 10 tahun ditetapkan pada kadar RM350 bakal dilaksana tahun ini.