PM Yaman selamat selepas kediaman diserang di Aden

Foto Fail AFP

SANA’A, 16 Oktober – Kementerian Penerangan Yaman pada Khamis memaklumkan bahawa Perdana Menteri Shaya al-Zindani dan anggota kerajaan berada dalam keadaan selamat susulan serangan misil ke atas Istana al-Maashiq di bandar pelabuhan Aden, selatan negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian sahkan serangan oleh kumpulan Houthi, dua anggota pasukan keselamatan terkorban.
  • Agensi SABA mendakwa sasaran pusat operasi ketenteraan di istana dan depot senjata; Houthi belum rasmi mengaku.
  • Saksi lapor lima letupan dan kepulan asap; Aden ialah bandar pelabuhan penting, istana terletak di bukit menghadap Teluk Aden.

Kementerian itu dalam satu kenyataan mengesahkan serangan dilakukan oleh kumpulan Houthi dan mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan Perdana Menteri.

Tiada maklumat segera mengenai tahap kerosakan yang berlaku. Turut tidak dapat dipastikan sama ada bangunan istana itu sendiri terkena serangan.

Kumpulan Houthi belum secara rasmi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Agensi berita SABA yang dikawal Houthi memetik sumber tentera sebagai berkata bahawa pasukan kumpulan itu menyasarkan sebuah pusat operasi ketenteraan di dalam istana yang didakwa dikendalikan oleh pegawai Arab Saudi, selain depot senjata berhampiran.

Media Arab Saudi turut melaporkan bahawa kumpulan Houthi menyerang istana berkenaan, yang menempatkan ibu pejabat kerajaan Yaman di daerah Crater, bandar itu.

Terdahulu, saksi melaporkan terdengar lima letupan di Aden dan melihat kepulan asap naik dari kawasan sekitar istana.

Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa berpusat di Aden, di selatan negara itu, sejak pemberontak Houthi menawan ibu negara Sanaa dan kawasan lain di utara Yaman pada 2014.

Kerajaan itu diketuai Rashad al-Alimi, yang kebanyakannya berada di Riyadh atas faktor keselamatan. Media Arab Saudi melaporkan bahawa pegawai kanan kerajaan Yaman tidak mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan.

Aden merupakan antara bandar terbesar di Yaman dan mempunyai pelabuhan penting di sebelah timur Selat Bab al-Mandab. Selama berabad-abad, bandar itu berfungsi sebagai hab perdagangan. Istana berkenaan terletak di atas bukit yang menghadap Teluk Aden.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.