
PUTRAJAYA, 5 Jun – Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Serbia berikutan kehilangan nyawa seorang anggota pasukan pengaman negara itu yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), pada Khamis.
- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB dan asetnya.
- Serangan dekat Marjayoun mencederakan dua anggota pengaman dari El Salvador dan Sepanyol.
- Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan menolak sebarang keganasan yang menjejaskan keselamatan pasukan pengaman.
- Malaysia menggesa penghentian serta-merta konflik dan pematuhan penuh undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, anggota pengaman berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam satu insiden serangan berhampiran Marjayoun, selatan Lubnan, Rabu lepas.
Insiden itu turut mencederakan dua lagi anggota pengaman masing-masing dari El Salvador dan Sepanyol.
Wisma Putra menegaskan bahawa serangan berterusan yang menyasarkan aset dan perimeter PBB tersebut merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB.
“Keganasan yang berterusan dan serangan terhadap pasukan pengaman serta orang awam ini berpunca secara langsung daripada pencabulan Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, dan tidak boleh dijustifikasikan dalam apa keadaan jua,” menurut kenyataan itu.
Susulan perkembangan yang semakin meruncing itu, Malaysia menggesa agar konflik ketenteraan dan keganasan di kawasan berkenaan dihentikan dengan serta-merta.
Malaysia turut menyeru semua pihak yang terlibat untuk mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB serta orang awam di Lubnan sentiasa terpelihara.