
Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin berucap pada Majlis Perasmian Seminar Reality Intelligence: AI Innovator Hub di Kompleks IPPTAR di sini, semalam. – Foto RTM
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) memperluas usaha memperkasa pendidikan kecerdasan buatan (AI) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga pengajar.
- IPPTAR memperkasa pendidikan AI dengan menumpukan kepada pemerkasaan tenaga pengajar untuk meluaskan akses kepada rakyat Malaysia.
- Program dilaksanakan melalui kerjasama kementerian untuk melatih bakal pengajar AI di pelbagai peringkat.
- Usaha ini penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dan memperkasa pembangunan AI menerusi perkongsian ilmu dan kolaborasi industri.
Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat pendedahan kepada teknologi berkenaan.
Jelas beliau, pendekatan tersebut dilaksana menerusi kerjasama dengan pelbagai kementerian bagi melatih bakal pengajar AI di pelbagai peringkat.
“Pendidikan AI perlu terus diperkasakan dari semasa ke semasa. IPPTAR bukan sahaja mendidik golongan dewasa dan pemain industri, tetapi kita berusaha memperluas akses pendidikan AI kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Jelas Datuk Roslan lagi, usaha berkenaan penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara maju dalam mendepani perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Beliau ditemui pada Seminar Reality Intelligence: AI Innovator Hub yang berlangsung di Kompleks IPPTAR di sini, semalam.
Seminar itu dianjurkan bersempena AI Grand Prix 2.0 IPPTAR dengan fokus memperkasa pembangunan teknologi AI melalui perkongsian ilmu dan kolaborasi bersama pemain industri.