Cubaan seludup imigran: Empat lelaki Thailand disiasat

Foto JIM Kedah

ALOR SETAR, 12 Mei – Siasatan ke atas empat lelaki warga Thailand di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntipenyeludupanMigran (ATIPSOM) 2007 kini dikendalikan secara rapi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah susulan cubaan menyeludup 29 individu melalui pintu sempadan negara bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes dikesan AKPS di ICQS Bukit Kayu Hitam, tiga van ditahan termasuk tujuh kanak-kanak tanpa dokumen perjalanan.
  • Delegasi Thailand diberi akses meninjau pengurusan kes dan memberi keyakinan tentang prosedur perundangan serta kebajikan mangsa.
  • Kanak-kanak dijaga di Baitul Mahabbah Darulaman dengan perhatian pada pembelajaran, penginapan, makanan dan kemudahan komunikasi.

Kes yang dikesan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di ICQS Bukit Kayu Hitam pada April 2026 itu melibatkan penahanan tiga buah van yang turut membawa tujuh kanak-kanak lelaki tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menyedari liputan meluas media antarabangsa, JIM Kedah pada Isnin membuka pintu kepada delegasi Thailand untuk melihat sendiri pengurusan kes yang dilaksanakan mengikut prosedur perundangan tanpa mengabaikan kebajikan mangsa yang terlibat.

Delegasi yang diketuai wakil Konsul Jeneral Thailand dan Ketua Pejabat Imigresen Dannok itu disambut oleh Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, bersama kepimpinan tertinggi agensi termasuk Komandan Depot Imigresen Belantik dan Ketua Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam.

Dalam sesi lawatan ke Baitul Mahabbah Darulaman (BMD) tersebut, delegasi berkenaan diberikan taklimat terperinci mengenai pengurusan semasa kes yang melibatkan elemen penyeludupan migran rentas sempadan.

Fokus utama diberikan kepada jaminan kebajikan kanak-kanak terlibat, merangkumi aspek aktiviti pembelajaran, kualiti penginapan, penyediaan makanan, serta kemudahan komunikasi yang disediakan oleh pihak BMD.

JIM Kedah dalam kenyataannya menegaskan bahawa kes tersebut dipantau sepenuhnya oleh Kerajaan Thailand memandangkan ia melibatkan kanak-kanak serta institusi agama Buddha.

“Pihak jabatan memastikan pengurusan kes ini dilaksanakan secara profesional, berhemah dan mematuhi lunas undang-undang.

“Kami mengambil kira aspek kemanusiaan dan imej negara, selain terus memelihara hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Thailand,” menurut kenyataan tersebut.

Setakat ini, kesemua kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan baik di bawah jagaan BMD sementara proses perundangan di bawah peruntukan ATIPSOM diteruskan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan tersebut.