
LUMUT, 12 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM Malaysia) Perak menyelamatkan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor dekat Lumut, semalam.
- Operasi SAR diaktifkan; dua kapal maritim digerakkan, dibantu Pasukan Polis Marin, TLDM dan komuniti nelayan tempatan.
- Vesel nelayan tempatan menyelamatkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
- MARITIM menahan vesel kelas C, tiga kru warga Myanmar ditahan; peralatan dan hasil laut bernilai lebih RM3 juta dirampas.
Pengarahnya Kepten Mohamad Shukri Khotob, berkata pihaknya menerima aduan kira-kira 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan, yang menemukan mangsa terapung di laut dan memohon bantuan segera.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan dua buah kapal maritim digerakkan ke lokasi, dibantu Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia serta komuniti nelayan tempatan.
“Sebuah vesel nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita, dengan kesemua mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung.
“Hasil siasatan mendapati jumlah keseluruhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di atas bot tersebut seramai 37 orang, namun 23 mangsa berjaya diselamatkan.
“Manakala baki mangsa yang lain masih belum ditemukan sehingga kini dan operasi SAR sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menemukan tiga buah beg yang mengandungi pakaian yang disyaki milik mangsa yang terlibat dan proses pengecaman akan dilakukan daripada mangsa yang terselamat.
“Siasatan awal mendapati, kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia, dengan beberapa destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, MARITIM turut menahan sebuah vesel nelayan kelas C menerusi operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada Ahad.
Beliau berkata vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 5.2 batu nautika tenggara Pulau Samak, kira-kira 6.39 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga kru warga Myanmar termasuk tekong yang berusia antara 42 hingga 45 tahun.
“Kesemua kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan iaitu 15 batu nautika dari daratan terhampir dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.