Rabun jauh pada usia muda, anak anda myopia?

RINGKASAN BERITA AI
  • Myopia meningkat terutamanya di Asia; di Malaysia 9.8% umur 7 tahun, 34.4% umur 15 tahun.
  • Gaya hidup moden: masa skrin berlebihan dan kurang aktiviti luar meningkatkan risiko myopia pada kanak-kanak.
  • Myopia awal boleh berkembang menjadi myopia tinggi, meningkatkan risiko retina lekang, glaukoma dan degenerasi makula serta kehilangan penglihatan.
  • Pemeriksaan mata berkala, intervensi optometris (Atropine, Ortho-K, kanta kawalan) dan aktiviti luar membantu melambatkan myopia.

SAUDARA PENGARANG

Ibu bapa pada masa kini tidak lagi terkejut apabila anak mereka seawal usia tujuh atau lapan tahun sudah memerlukan cermin mata. Malah, keadaan ini semakin dianggap sebagai perkara biasa, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bandar.

Namun persoalannya, adakah keadaan ini benar-benar normal atau sebenarnya petanda kepada satu krisis senyap kesihatan mata yang sedang melanda negara?

Myopia atau rabun jauh berlaku apabila seseorang mengalami kesukaran untuk melihat objek pada jarak jauh dengan jelas. Berdasarkan trend kesihatan global, Asia termasuk Malaysia dianggap sebagai kawasan “hotspot” myopia kerana peningkatan ketara kes rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dianggarkan sebanyak 9.8 peratus kanak-kanak di Malaysia berusia tujuh tahun mengalami masalah ini dan jumlah tersebut meningkat kepada 34.4 peratus apabila mencecah usia 15 tahun.

Fenomena ini bukan berlaku secara kebetulan. Perubahan gaya hidup kanak-kanak masa kini memainkan peranan besar dalam peningkatan kes myopia. Mereka banyak menggunakan peranti digital seperti telefon pintar, tablet dan komputer untuk pembelajaran serta hiburan.

Masa yang dihabiskan di hadapan skrin juga sering melebihi waktu bermain di luar rumah. Pada masa sama, tekanan akademik dan kebergantungan terhadap pembelajaran berasaskan skrin turut mengurangkan peluang kanak-kanak menggunakan penglihatan jarak jauh secara semula jadi.

Kajian menunjukkan bahawa kekurangan aktiviti luar merupakan antara faktor utama peningkatan kes myopia dalam kalangan kanak-kanak. Pendedahan kepada cahaya semula jadi serta aktiviti luar membantu perkembangan mata yang lebih sihat, khususnya pada usia kanak-kanak.

Sebaliknya, apabila masa di luar rumah semakin berkurang, risiko untuk mengalami rabun jauh juga didapati meningkat dengan ketara.

Masalah myopia bukan sekadar soal memakai cermin mata. Myopia yang bermula pada usia muda biasanya akan menjadi lebih serius apabila kanak-kanak meningkat dewasa, terutamanya jika berlaku peningkatan kuasa rabun sebanyak 1.00 D atau lebih dalam tempoh setahun tanpa kawalan.

Myopia tinggi dengan kuasa melebihi atau sama dengan 6.00 D atau panjang bola mata melebihi 26.5 mm meningkatkan risiko masalah serius seperti retina lekang, glaukoma dan degenerasi makula.

Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan penglihatan kekal apabila dewasa. Oleh itu, masalah yang kelihatan kecil hari ini boleh menjadi beban kesihatan yang lebih besar pada masa hadapan.

Di sinilah peranan optometris menjadi semakin penting. Optometris bukan sekadar menyediakan cermin mata, tetapi juga merupakan barisan hadapan dalam penjagaan kesihatan mata primer.

Pemeriksaan mata menyeluruh yang disarankan sekali dalam tempoh usia tiga hingga lima tahun, sekali sebelum umur tujuh tahun serta pemeriksaan berkala setiap tahun sehingga usia 18 tahun mampu mengesan myopia pada peringkat awal.

Pemeriksaan ini juga penting untuk memantau peningkatan myopia serta mengenal pasti kanak-kanak yang berisiko mengalami kemerosotan penglihatan dengan cepat.

Lebih penting, terdapat beberapa pendekatan pengurusan myopia yang dijalankan oleh optometris seperti penggunaan ubat titis Atropine, pemakaian kanta sentuh keras Orthokeratology (Ortho-K), kanta sentuh lembut khas kawalan myopia dan cermin mata khas pengurusan myopia.

Kaedah ini dapat membantu memperlahankan peningkatan rabun jauh, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Sekolah dan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Menggalakkan aktiviti luar sekurang-kurangnya dua jam sehari, mengehadkan masa skrin kepada dua jam sehari bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke atas serta memastikan pemeriksaan mata dilakukan secara berkala merupakan langkah asas yang sangat berkesan.

Pemeriksaan mata seharusnya menjadi sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan kanak-kanak, sama seperti pemeriksaan gigi dan imunisasi.

Dalam jangka masa panjang, usaha membendung peningkatan myopia memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk keluarga, sekolah, pengamal kesihatan dan pembuat dasar.

Menggalakkan aktiviti luar bilik darjah, memaksimumkan tempoh Pendidikan Jasmani serta mendidik tabiat penjagaan mata yang sihat seperti menjaga jarak penglihatan semasa membaca mampu menjadi langkah pencegahan yang lebih praktikal.

Kesihatan mata kanak-kanak bukan sekadar isu individu, tetapi juga merupakan pelaburan jangka panjang untuk kualiti hidup dan produktiviti generasi masa depan negara.

Intervensi awal, pemantauan berkala dan pendidikan kepada ibu bapa memainkan peranan besar dalam melindungi penglihatan anak-anak. Namun, usaha ini hanya berkesan jika pemeriksaan mata dilakukan secara berkala dan bukan hanya apabila anak mengadu tidak dapat melihat papan hitam dengan jelas di bilik darjah.

Myopia dalam kalangan kanak-kanak Malaysia tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia merupakan isyarat awal kepada cabaran kesihatan awam yang lebih besar.

Tindakan awal hari ini mampu mengelakkan masalah penglihatan yang lebih serius pada masa hadapan. Pemeriksaan mata berkala bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Kapt. Bersekutu (PA) Mohammad Nor Fitri Hasan
Pegawai Optometri, Jabatan Oftalmologi
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Universiti Putra Malaysia
E-mel: norfitri@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.