Salam Baitullah: RTM fokus pengisian jiwa, bukan sekadar ‘rating’

Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa, Rahayu Wahid

KUALA LUMPUR, 14 Mei– Selepas hampir dua dekad bersiaran, program ikonik Salam Baitullah terus membuktikan bahawa kandungan berteraskan kerohanian dan nilai kemanusiaan kekal mempunyai tempat istimewa dalam landskap penyiaran negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Musim 2026 tampil dengan pengisian lebih segar dan pendekatan menyentuh jiwa supaya relevan dengan peredaran zaman.
  • RTM menyesuaikan format dengan elemen visual moden dan pengukuhan platform digital untuk menarik penonton generasi muda.
  • Tahun lalu program mencatatkan lima juta tontonan merentasi televisyen dan digital, menunjukkan keberkesanan strategi penglibatan audien.
  • Fokus utama bukan semata-mata rating, tetapi keberkesanan maklumat supaya nasihat dan pengisian memberi inspirasi serta impak positif kepada penonton.

Bagi musim 2026, program yang mula bersiaran malam tadi sehingga 27 Mei depan tampil dengan pengisian lebih segar dan pendekatan yang menyentuh jiwa agar kekal relevan seiring dengan peredaran zaman.

Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa, Rahayu Wahid berkata Salam Baitullah berjaya menyesuaikan format penyiarannya menerusi elemen visual yang lebih moden serta pengukuhan platform digital bagi menarik minat penonton generasi muda.

Strategi itu terbukti berkesan apabila program tersebut berjaya mencatatkan keseluruhan lima juta tontonan merentasi platform televisyen dan digital pada tahun lalu.

“Sebenarnya, fokus utama kita bukanlah sekadar mengejar rating atau jutaan tontonan, tetapi apa yang lebih diharapkan adalah keberkesanan maklumat dan pengisian yang disampaikan agar benar-benar meresap ke dalam jiwa serta hati nurani penonton.”

“Kita mahu setiap nasihat daripada ustaz dalam segmen Al-Bayan, mahupun setiap pengisian lain, mampu memberi rasa inspirasi dan meninggalkan impak positif kepada mereka yang menonton,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum tayangan siaran pertama Salam Baitullah 2026, malam tadi.

Rahayu turut berharap agar program berkenaan terus menambat hati penonton selain mengekalkan reputasi utamanya sebagai antara pengisian teras RTM sepanjang musim haji kali ini.

Salam Baitullah akan bersiaran secara langsung di TV1 bermula 13 Mei hingga 27 Mei 2026, pada pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Musim ini, Salam Baitullah menampilkan enam segmen utama iaitu Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Al-Bayan, Rehlah Haramain, Kapsul Haji dan segmen baharu, Istiqamah, yang disusun bagi membawa penonton menelusuri perjalanan ibadah haji secara lebih menyeluruh.

Selain itu, program Salam Baitullah Unplugged: Benda Baik Kita Borak pula boleh ditonton menerusi media sosial rasmi program itu bersiaran pada pukul 7.45 malam dengan menampilkan pendekatan lebih segar bersama pempengaruh, selebriti dan tokoh jemputan.