
KUALA TERENGGANU, 14 Mei– Kenyataan yang didakwa menghina serta memfitnah sahabat Rasulullah SAW disifatkan sebagai satu tindakan serius yang tidak boleh diklasifikasikan sebagai kesilapan biasa.
- Kenyataan Ahli Parlimen bercanggah dengan fakta sirah dan berpotensi memesongkan kefahaman masyarakat terhadap sejarah Islam.
- Pemuda UMNO mendesak pihak berkuasa meneruskan siasatan walaupun permohonan maaf telah dibuat.
- Amaran agar fakta agama tidak dipolitikkan kerana boleh mencalarkan imej Islam dan memberi persepsi negatif kepada orang bukan Islam.
- Pemuda UMNO mengingatkan pemimpin supaya lebih bertanggungjawab; laporan polis dibuat terhadap Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menegaskan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu bukan sahaja bercanggah dengan fakta sirah, malah mampu memesongkan kefahaman masyarakat terhadap sejarah Islam yang sebenar.
Beliau memberi amaran agar fakta agama tidak sesekali dijadikan bahan ceramah politik demi kepentingan sempit memandangkan ia menyentuh sensitiviti umat Islam serta mencalarkan imej agama.
Sehubungan itu, pihak berkuasa digesa meneruskan siasatan meskipun permohonan maaf sudah dibuat.
“Kita akan terus desak untuk pihak berwajib ambil tindakan. Seperti mana saya sebutkan tadi, bahawa perkara ini bukan perkara main-main. Yang dilontarkan pula adalah berimejkan Islam. Jadi kita sangat bimbang ianya memberi tanggapan negatif, persepsi negatif di kalangan orang-orang bukan Islam.”
“Lebih-lebih lagi kalau mereka yang di peringkat orang awam mendengar kenyataan seolah-olah sepertinya sirah ni sirah yang betul, maka diambil sebagai bukti dan juga sebagai ilmu kepada mereka,” kata Tengku Haphiz.
Tambahnya, pemimpin politik tanpa mengira latar belakang turut diingatkan agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya memperalatkan isu agama dalam meraih sokongan.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang disifatkan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.