
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Jabatan Imigresen (JIM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dengan penahanan 20 warga Indonesia di pesisir pantai Telok Senangin, Lumut, Perak, awal pagi semalam.
- Sindiket menggunakan kapal ikan dan ejen dipercayai dari Tanjung Balai, Indonesia untuk menyeludup pendatang tanpa izin.
- Operasi dilakukan hasil risikan tiga minggu dan kerjasama Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat serta JIM Perak dari Kuala Selangor ke Lumut.
- Migran dikenakan bayaran RM1,500; sebahagian disenaraikan hitam; kes disiasat di bawah Seksyen 36 dan 6(1)(c) Akta Imigresen.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka berusia 19 hingga 59 tahun terdiri daripada sembilan lelaki dan 11 wanita dipercayai dari Tanjung Balai, Indonesia dikesan ketika cuba mendarat di kawasan pantai itu.
“Modus operandi sindiket ialah membawa masuk pendatang tanpa izin secara haram yang dikendalikan ejen dipercayai berada di Tanjung Balai, Indonesia dengan menggunakan kapal ikan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
JIM memaklumkan operasi melibatkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Perak yang diatur gerak ke lokasi itu hasil maklumat awam serta risikan selama tiga minggu dari pesisiran pantai Kuala Selangor, Selangor hingga ke Lumut.
Siasatan mendapati migran yang tiba di situ akan dihantar ke destinasi yang ditetapkan menggunakan laluan darat dengan setiap mereka dikenakan bayaran RM1,500 untuk memasuki Malaysia.
“Semakan awal mendapati sebahagian yang ditahan dipercayai Imigran Larangan iaitu individu telah direkodkan dalam senarai hitam dan senarai syak jabatan yang tidak dibenarkan memasuki negara ini,” menurut kenyataan itu.
Mereka dibawa ke pejabat JIM untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM memaklumkan akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus terpelihara. -BERNAMA