Hampir 700 Orang awam terbunuh dalam serangan dron di Sudan

Foto REUTERS

GENEVA, 14 April -Hampir 700 orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan dron di Sudan sejak Januari lalu, menurut ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perang tahun keempat, puluhan ribu maut dan lebih 11 juta orang dipaksa meninggalkan rumah, mencetuskan risiko kebuluran.
  • Serangan dron hampir setiap hari mengganggu kehidupan, terutamanya di Selatan Kordofan dan Darfur yang dikuasai RSF.
  • Hampir 34 juta orang memerlukan bantuan, kekurangan dana dan hanya 16% daripada rayuan AS$2.9 bilion dibiayai.
  • Wanita dan kanak-kanak perempuan terdedah kepada keganasan seksual sistematik; ratusan ribu anak mengalami kekurangan zat makanan akut dan pendidikan terganggu.

Memasuki tahun keempat, perang antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, selain memaksa lebih 11 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka dan mencetuskan risiko kebuluran di beberapa kawasan.

“Serangan dron hampir setiap hari sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah mengganggu kehidupan rakyat Sudan, khususnya di selatan Kordofan yang kini menjadi medan pertempuran utama, serta kawasan barat termasuk Darfur yang dikuasai RSF,” katanya.

Beliau berkata jutaan penduduk telah dipaksa meninggalkan rumah mereka, dengan komuniti musnah dan keluarga terpisah berulang kali, sekali gus meningkatkan risiko ketidakstabilan di rantau tersebut.

“Sudan kini menanggung krisis kemanusiaan yang amat besar. Hampir 34 juta orang — iaitu hampir dua pertiga penduduk, memerlukan bantuan,” katanya.

Fletcher turut memberi amaran bahawa keadaan kebuluran semakin meruncing apabila musim kekurangan bekalan semakin hampir, dengan ratusan ribu kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut dan jutaan lagi terjejas dari segi pendidikan.

Selain itu, wanita dan kanak-kanak perempuan turut berdepan keganasan seksual yang disifatkan sebagai sistematik dan kejam.

Walaupun agensi kemanusiaan berjaya menyalurkan bantuan kepada 17 juta orang tahun lalu, sasaran tahun ini dinaikkan kepada 20 juta. Namun, usaha tersebut berdepan kekangan besar akibat kekurangan dana.

“Kami memerlukan tindakan segera untuk menghentikan keganasan, melindungi orang awam, memastikan akses bantuan ke kawasan paling terancam serta meningkatkan pembiayaan,” katanya.

“Ulang tahun ini sekali lagi menunjukkan kegagalan dunia untuk bertindak secukupnya terhadap krisis di Sudan.”

Sementara itu, Penyelaras Residen PBB di Sudan, Denise Brown, memaklumkan bahawa rayuan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$2.9 bilion bagi tahun ini hanya dibiayai sekitar 16 peratus setakat ini, susulan penurunan sumbangan penderma antarabangsa.

Persidangan antarabangsa dijadual berlangsung di Berlin pada Rabu bagi membincangkan usaha menghidupkan semula rundingan damai serta memperkukuh bantuan kemanusiaan untuk menangani krisis yang semakin meruncing di Sudan. – AFP