Queen’s Club: De Minaur lepasi halangan pertama

Foto REUTERS

LONDON, 17 Jun – Pilihan utama, Alex de Minaur, terpaksa bermandi peluh pada set pembukaan sebelum mengesahkan kemenangan 7-6 (8), 6-3 ke atas pemain Kanada, Gabriel Diallo, pada aksi pusingan pertama kejohanan tenis di Kelab Queen’s pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alex de Minaur akan berdepan Denis Shapovalov pada pusingan kedua.
  • Jiri Lehecka, pilihan kedua, mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Kamil Majchrzak.
  • Adrian Mannarino melakar kejutan apabila menumpaskan pilihan ketiga Jakub Mensik.
  • Alejandro Davidovich Fokina, pilihan keempat, menewaskan Cameron Norrie untuk mara.

Pemain Australia itu mempamerkan ketahanan mental yang tinggi apabila menyelamatkan dua mata set ketika aksi tiebreak sebelum memanfaatkan peluang kedua untuk memenangi set pertama.

Menanti De Minaur di pusingan seterusnya ialah seorang lagi wakil Kanada, Denis Shapovalov, yang sudah mengesahkan kemaraan lebih awal selepas memenangi perlawanan pembukaannya pada Isnin.

Dalam pada itu, pilihan kedua dari Czechia, Jiri Lehecka, turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Poland, Kamil Majchrzak, 7-5, 7-6 (4).

Kejutan terbesar dilakar oleh pemain Perancis, Adrian Mannarino, yang berjaya menumbangkan pilihan ketiga kejohanan dari Czechia, Jakub Mensik, menerusi kemenangan 5-7, 7-6 (3), 7-6 (5).

Sementara itu, pilihan keempat dari Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina, tidak berdepan masalah besar untuk mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Cameron Norrie, dengan keputusan 7-6 (6), 6-2.

Turut mencatatkan kemenangan ialah pemain Serbia, Hamad Medjedovic, yang menewaskan pilihan keenam dari Perancis, Arthur Rinderknech, 7-6 (5), 7-6 (4). Pilihan ketujuh dari Argentina, Francisco Cerundolo, pula dipaksa bekerja keras sebelum menang 6-4, 6-7 (5), 6-2 ke atas pemain Amerika Syarikat, Aleksandar Kovacevic.

Antara pemain lain yang turut mengesahkan slot ke pusingan seterusnya ialah Brandon Nakashima dan Jenson Brooksby dari Amerika Syarikat, Ugo Humbert dan Corentin Moutet (Perancis), Ignacio Buse (Peru), penerima tiket wild card Britain, Arthur Fery, serta pemain kelayakan dari Australia, Rinky Hijikata. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.