
KANSAS CITY, 17 Jun – Legenda bola sepak dunia, Lionel Messi membuktikan usia bukan penghalang selepas melakukan hatrik buat Argentina ketika menewaskan Algeria 3-0.
- Gol awal Argentina melalui rembatan padu Messi dari hantaran Rodrigo De Paul, menewaskan penjaga gol Algeria, Luca Zidane.
- Gol kedua pada minit ke-60, Messi menolak masuk bola muntah selepas penjaga Luca gagal menangkap rembatan Alexis Mac Allister.
- Gol ketiga pada minit ke-76 melalui rembatan kencang selepas hantaran pemain gantian Nico Gonzalez, melengkapkan malam gemilang Messi.
- Kemenangan beri tonik penting kepada Argentina dalam misi mempertahankan kejuaraan; seterusnya bertemu Austria, manakala Algeria akan menentang Jordan.
Hatrik tersebut membolehkan Messi menyamai rekod 16 gol milik legenda Jerman, Miroslav Klose, sekali gus meletakkan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Dunia skuad yang dijuluki ‘La Albiceleste’ berada di landasan tepat.
Aksi pembukaan Kumpulan J di Stadium Kansas City itu turut menyaksikan satu lagi kelas tersendiri daripada ketua pasukan Argentina itu apabila dia turut muncul sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia berbeza.
Pada perlawanan berkenaan, Messi hampir meletakkan pasukannya di hadapan seawal lima minit pertama perlawanan. Namun gol berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.
Argentina berjaya mendapatkan gol awal menerusi rembatan padu Messi berpunca daripada hantaran pemain tengah, Rodrigo De Paul.
Rembatan dari jarak 25 meter itu menewaskan penjaga gol Algeria,Luca Zidane yang juga anak kepada legenda Perancis, Zinedine Zidane.
Memasuki babak kedua, Messi menggandakan kedudukan pada minit ke-60 apabila tenang menolak masuk bola muntah hasil kesilapan Luca yang gagal menangkap kemas rembatan Alexis Mac Allister.
Penyerang legenda itu melengkapkan malam gemilangnya pada minit ke-76 menerusi satu lagi rembatan kencang selepas menerima hantaran pemain gantian, Nico Gonzalez, untuk memastikan hatrik pada perlawanan berkenaan.
Kemenangan tersebut menyuntik tonik berharga buat skuad kendalian Lionel Scaloni dalam misi menjadi pasukan lelaki pertama mempertahankan trofi Piala Dunia sejak Brazil melakukannya pada tahun 1962.
Argentina dijadualkan menentang Austria di Arlington, Texas pada Isnin depan, manakala Algeria akan bertemu Jordan pada hari yang sama di Santa Clara, California. – AFP