Lebih 40 tahun berbakti, Datuk Abdul Rahim terima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka

Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah (Anugerah Abu Bakar As-Siddiq) kepada Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026/ Foto FB Ab Rauf Yusoh

MERLIMAU, 17 Jun – Bekas pendidik, Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik Al-Hafiz antara penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1448H/2026M bagi kategori Anugerah Abu Bakar As-Siddiq.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan besar dalam dakwah, pendidikan Islam dan pembangunan masyarakat di Melaka sepanjang lebih empat dekad.
  • Berkhidmat sebagai Duta Khas Pendakwah Arab Saudi (1981 hingga 2019) dan Guru Takmir Negeri Melaka sejak 1987.
  • Memegang peranan sebagai Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan serta penulis khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Melaka.
  • Kerajaan mengumumkan peruntukan RM68,000 kepada 13 Tokoh dan RM6.87 juta untuk naik taraf 134 institusi Pendidikan Islam.

Pemilihan beliau dibuat berdasarkan sumbangan besar dalam bidang dakwah, pendidikan Islam dan pembangunan masyarakat sepanjang lebih empat dekad di Melaka.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Pendakwah Arab Saudi dari tahun 1981 hingga 2019.

Beliau turut memainkan peranan penting sebagai Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Melaka serta Guru Takmir Negeri Melaka sejak 1987 hingga kini.

Selain itu, beliau juga menyumbang sebagai penulis khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1439H bagi kategori Imam As-Shafie Tokoh Ilmuan Islam.

Datuk Abdul Rahim menyatakan rasa syukur atas anugerah yang diterima dan menyifatkannya sebagai pemangkin untuk terus berdakwah.

“Tidak pernah terbayang dalam hati saya… saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan ini dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya MAIM dan JAIM.

“Saya tidak pernah menyangka akan menerima anugerah ini. Semoga penghormatan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus berbakti dalam bidang dakwah serta memberi inspirasi kepada rakan-rakan pendakwah yang lain”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Melaka 1448H/2026M di Masjid Falihin Kampung Alai, Merlimau, malam tadi.

Pada Majlis berkenaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan peruntukan RM68,000 kepada 13 Tokoh Maal Hijrah Sebagai mengiktiraf jasa dan peranan mereka dalam memperkukuh syiar islam di Melaka.

Sebanyak RM6.87 juta juga diluluskan kerajaan pusat bagi kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan 134 institusi Pendidikan Islam di Melaka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.