Hijrah digital jadi benteng fitnah siber, kandungan mengelirukan

Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Mahyuddin Daud / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Hijrah digital perlu menjadi budaya masyarakat dalam mendepani cabaran dunia siber yang semakin kompleks, termasuk ancaman fitnah, penyebaran maklumat palsu dan kandungan mengelirukan yang dijana menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hijrah digital menuntut perubahan sikap kepada penggunaan teknologi beretika dan menghasilkan kandungan positif selari prinsip Maqasid Syariah.
  • Amalan tabayyun wajib dibudayakan untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
  • Pegang nilai ketimuran, Rukun Negara serta ajaran al-Quran dan Sunnah sebagai panduan berinteraksi di ruang siber berdepan cabaran AI.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Mahyuddin Daud berkata, masyarakat khususnya generasi muda perlu melihat hijrah digital sebagai peralihan daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada penggunaan teknologi yang lebih beretika, positif dan selari dengan prinsip Maqasid Syariah.

Beliau berkata, konsep hijrah digital bukan sekadar menghasilkan kandungan yang baik, sebaliknya melibatkan perubahan sikap dan pendekatan dalam menggunakan platform digital supaya memberi manfaat kepada diri, masyarakat dan negara.

“Hijrah itu daripada perkara-perkara yang tidak baik. Apa yang kita lihat dalam media sosial atau platform dalam talian yang tidak baik, kita beralih kepada perkara yang lebih positif dan lebih mematuhi Maqasid Syariah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini.

Menurut beliau, perkembangan pesat teknologi digital termasuk penggunaan AI membuka pelbagai peluang kepada masyarakat, namun pada masa sama turut membawa cabaran baharu yang memerlukan pengguna lebih berhati-hati.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar sentiasa berpegang kepada nilai ketimuran, prinsip Rukun Negara serta ajaran al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama dalam berinteraksi dan mendapatkan maklumat di ruang siber.

Beliau turut menekankan kepentingan amalan tabayyun atau menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.

“Tabayyun menjadi kunci utama dalam memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih sama ada di media sosial mahupun media arus perdana,” katanya.

Menurutnya, amalan tersebut perlu dibudayakan oleh semua lapisan masyarakat bagi memastikan ruang digital kekal sebagai medium yang sihat, beretika dan memberi manfaat kepada pembangunan insan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.