Maal Hijrah medan muhasabah, imbas kesilapan dan perbaiki kelemahan diri – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Masjid Putra, Putrajaya sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan / Foto RTM

PUTRAJAYA, 17 Jun – Sambutan Maal Hijrah perlu dihayati sebagai medan muhasabah untuk umat Islam menilai perjalanan hidup, mengimbas kesilapan lalu serta mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semangat hijrah sebagai lambang keberanian untuk berubah dan sanggup berkorban.
  • Perlu perancangan strategik dan kepimpinan berwawasan dalam menghadapi cabaran masa kini.
  • Kukuhkan perpaduan serta kerjasama masyarakat berteraskan iman, ilmu dan akhlak.
  • Lakukan muhasabah, perbaiki kelemahan dan tingkatkan tawakal agar tidak alpa dengan duniawi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, peristiwa hijrah bukan sekadar menandakan kedatangan tahun baharu dalam kalendar Islam, sebaliknya membawa mesej perubahan, pengorbanan dan pembaharuan yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Menurut Baginda, umat Islam perlu menjadikan semangat hijrah sebagai dorongan untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik, sama ada dari aspek akhlak, pemikiran mahupun cara hidup.

“Berlakunya satu perjalanan yang bukan sekadar menyaksikan perpindahan sekumpulan manusia secara fizikal dari sebuah kota ke sebuah kota, tetapi merupakan berlakunya titik peralihan kehidupan insan daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada penindasan kepada kebebasan dan daripada perpecahan kepada pembinaan masyarakat yang bersatu dan berperadaban, berteraskan iman, ilmu dan akhlak.

“Hijrah membuktikan bahawa masa hadapan yang gemilang hanya akan lahir daripada kesediaan melakukan pengorbanan yang besar. Hijrah ialah lambang keberanian untuk berubah,” titah baginda ketika berkenan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, terdapat empat pengajaran utama daripada peristiwa hijrah yang wajar dijadikan panduan oleh umat Islam dalam mendepani cabaran semasa.

Menurut Baginda, pengajaran tersebut meliputi kesanggupan melakukan pengorbanan, kepentingan perancangan strategik dan kepimpinan berwawasan, pengukuhan perpaduan serta kerjasama dalam masyarakat, selain meningkatkan sifat tawakal kepada Allah SWT.

Baginda turut mengingatkan agar umat Islam tidak alpa dan hanyut dalam arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk memperbaiki diri.

“Ketika melangkah kaki ke tahun Hijrah 1448, sebaiknya kita mengambil ingatan akan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok.

“Ayat ini sebaiknya mengingatkan kita untuk melakukan muhasabah terhadap perjalanan hidup, mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kita tidak terlalu selesa dan kadangkala lalut serta lemas dalam lautan kata-kata pujian yang palsu,” titah Baginda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.