Gempa bumi 6.7 magnitud di Palu ragut satu nyawa

Foto AFP

PALU, 17 Jun – Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang menggegarkan wilayah tengah Indonesia pada pagi Selasa mengakibatkan seorang meninggal dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 12 penduduk cedera parah di Sigi, kira-kira 20 kilometer dari bandar Palu.
  • Puluhan rumah di Palu, Sigi dan Parigi Moutong dilaporkan rosak.
  • Beberapa jambatan, pejabat kerajaan dan sebuah hotel turut mengalami kerosakan akibat gegaran.
  • BMKG lapor pusat gegaran di timur tenggara Palu; tiada ancaman tsunami, operasi menyelamat dan penilaian kerugian sedang dijalankan.

“Seorang mangsa disahkan terkorban, manakala lebih daripada 12 penduduk mengalami kecederaan parah di wilayah Sigi, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Palu,” jelas Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.

Beliau menambah puluhan rumah di sekitar Palu, Sigi dan kawasan berhampiran, Parigi Moutong juga dilaporkan mengalami kerosakan.

Selain kediaman penduduk, beberapa jambatan, pejabat kerajaan dan sebuah hotel turut terjejas akibat gegaran kuat berkenaan.

Dalam pada itu, sejumlah pesakit dipindahkan dari Hospital Besar Anutapura di sini akibat gegaran berkenaan.

Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik Indonesia (BMKG), gegaran kuat itu berpusat di timur-tenggara Palu, Pulau Sulawesi, pada pukul 10:27 pagi semalam waktu tempatan.

Bagaimanapun, bencana itu tidak membawa ancaman tsunami.

Seorang penduduk Palu, Nurhaidar, 42, menceritakan detik cemas ketika gegaran berlaku sewaktu beliau sedang memasak di dapur.

“Tiba-tiba terasa seperti ada satu sentakan kuat dan seluruh rumah mula bergegar. Bahagian bumbung mengeluarkan bunyi yang sangat bising, seolah-olah mahu runtuh.

Dalam keadaan panik dan keliru, saya segera menyelamatkan diri bersama anak-anak ke luar rumah,” katanya.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan operasi menyelamat dan menilai jumlah kerugian sepenuhnya di kawasan terjejas.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.