Gempa bumi 6.3 magnitud gegar Wilayah Qinghai, 19 gempa susulan direkodkan

Foto REUTERS

BEIJING, 17 Jun – China telah mengaktifkan tindak balas kecemasan tahap empat (paling kritikal) susulan gempa bumi kuat 6.3 magnitud yang mengegarkan Wilayah Qinghai di barat laut China pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • 19 gempa susulan bersaiz 3.0 magnitud atau lebih direkodkan, termasuk tiga yang 4.0 magnitud atau ke atas.
  • Sekurang-kurangnya seorang maut dan empat cedera selepas gempa melanda Wilayah Autonomi Mongol dan Tibet Haixi.
  • 320 penyelamat, 78 kenderaan dan 10 anjing pengesan digerakkan; 10,000 barangan bantuan termasuk khemah dan kit kecemasan disediakan.

Setakat pukul 4:00 pagi tadi, sebanyak 19 gempa susulan berukuran 3.0 magnitud atau lebih telah direkodkan.

16 daripadanya dikesan berkekuatan antara 3.0 hingga 3.9 magnitud, manakala tiga lagi adalah 4.0 magnitud atau ke atas.

Pasukan kerja khas telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi melakukan operasi kecemasan serta menyelaras kerja bantuan bencana di lapangan.

Setakat petang semalam, sekurang-kurangnya seorang disahkan maut manakala empat yang lain cedera selepas gempa bumi itu melanda Wilayah Autonomi Mongol dan Tibet Haixi di Qinghai pada pukul 5:06 petang.

Menurut pusat pemantauan, gempa berkenaan dikesan pada kedalaman 10 kilometer.

Pihak kementerian turut mengarahkan usaha berterusan bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap, mengagihkan barangan bantuan, menempatkan semula penduduk terjejas serta memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan.

Setakat ini, Pasukan Bomba dan Penyelamat Komprehensif Kebangsaan telah mengatur gerak seramai 320 anggota penyelamat, 78 kenderaan dan 10 anjing pengesan ke lokasi kejadian.

Bagi menyokong operasi bantuan di Qinghai, sebanyak 10,000 barangan bantuan bencana disediakan termasuk khemah, kit kecemasan keluarga dan peralatan lampu kecemasan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.