
PORT-AU-PRINCE, 17 Jun – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan penubuhan Pasukan Penindasan Geng (GSF) yang baharu bagi menggantikan misi Sokongan Keselamatan Multinasional (MSS) di Haiti.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata GSF yang dianggotai kurang 1,000 personel dari Chad, Mongolia, Jamaica, Guatemala dan El Salvador dijangka akan ditingkatkan jumlahnya hingga 5,500 anggota penguat kuasa termasuk polis dan tentera.
- Keanggotaan GSF akan ditingkatkan kepada sekitar 5,500 anggota termasuk polis dan tentera.
- Setiausaha Agung Guterres memohon maaf atas kegagalan komuniti antarabangsa membantu rakyat Haiti.
- Dana bantuan kemanusiaan AS$880 juta kurang dari satu perempat diperlukan, menjejaskan respons kecemasan.
- Kumpulan kongsi gelap lakukan pembunuhan, rogol, rompakan, penculikan, melemahkan institusi dan mencetuskan krisis politik.
Beliau menyatakannya ketika meninjau pusat penempatan sementara buat lebih 1,250 penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan domestik di sini.
Dalam lawatan berkenaan, Gutteras menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat Haiti atas kegagalan komuniti antarabangsa yang seolah-olah “meninggalkan” negara Caribbean itu.
Kali terakhir beliau melawat Port-au-Prince pada Julai 2023.
“Saya memohon maaf kerana tidak dapat menggerakkan sokongan komuniti antarabangsa dengan secukupnya. Kami tahu betapa peritnya penderitaan yang anda semua lalui dan saya berada di sini hari ini untuk mendengar rintihan anda,” jelasnya kepada pelarian.
Menurut data PBB, pelan bantuan kemanusiaan untuk Haiti tahun ini dianggarkan berjumlah AS$880 juta (sekitar RM4.1 bilion) kini dilaporkan menerima dana kurang daripada satu perempat daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan.
Haiti, yang memegang status negara termiskin di benua Amerika, telah sekian lama berdepan ketidakstabilan politik dan sosial yang kritikal berikutan tindakan kumpulan kongsi gelap yang melakukan pembunuhan, rogol, rompakan dan penculikan secara berleluasa.
“Kumpulan terbabit telah mengganas di Haiti dan melemahkan institusi negara. Namun perkara yang paling memalukan adalah sikap tidak peduli, sikap dunia yang memilih untuk memalingkan muka daripada krisis ini,” tegas Guterres dalam satu sidang media.
Krisis keselamatan di Haiti dilaporkan semakin meruncing pada awal tahun 2024 hingga memaksa Perdana Menteri terdahulu meletak jawatan.
Kuasa eksekutif negara kini diterajui oleh Perdana Menteri Interim, Alix Didier Fils-Aime.
Meskipun berdepan situasi kemanusiaan mendesak, Guterres optimis bahawa penempatan pasukan GSF ini mampu mengubah landskap keselamatan negara itu.
“Buat pertama kali dalam tempoh bertahun-tahun, akhirnya kita dapat melihat sedikit cahaya di hujung terowong,” tambah beliau lagi.- AFP