
JOHOR BAHRU, 2 Oktober – Sebanyak 23,000 liter diesel dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menerusi Op Taring Landai di Taman Kota Puteri, Masai, semalam.
- PPM merampas lima lori, 24 tangki empat segi, dua pam elektrik dan hos, nilai rampasan hampir RM950,000.
- Operasi URM Johor dijalankan kira-kira pukul 11.45 pagi susulan maklumat awam tentang penyelewengan diesel.
- Pemeriksaan awal pada dua lori menemui diesel dalam tangki empat segi; soal siasat membawa kepada tiga lori lagi.
- Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM Wilayah Dua, ACP Noor Azman Jamal berkata, pihaknya turut merampas lima lori, 24 tangki, dua pam elektrik serta hos dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM950,000.
Menurutnya, operasi kira-kira pukul 11.45 pagi itu dijalankan Unit Risik Marin (URM) Johor susulan maklumat awam mengenai kegiatan penyelewengan diesel di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan awal ke atas dua lori di Jalan Penaga menemukan sejumlah diesel yang disimpan dalam tangki berbentuk empat segi di bahagian belakang kenderaan terbabit.
“Hasil soal siasat awal terhadap seorang lelaki tempatan kemudian membawa pasukan kepada tiga lagi lori yang diletakkan di tepi jalan berhampiran premis berkenaan,” katanya.
Lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengedar itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Noor Azman berkata, siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai baru beroperasi sejak kira-kira dua bulan lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Suspek dan semua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor untuk tindakan lanjut.