PM mahu kepimpinan pemikiran syariah responsif, tangkas hadapi realiti

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kepimpinan pemikiran syariah diperkukuh supaya terus responsif dan tangkas dalam mendepani realiti serta cabaran kewangan Islam semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kepimpinan pemikiran syariah supaya responsif dan tangkas dalam menghadapi realiti kontemporari serta cabaran kewangan Islam.
  • Memperkukuh ekosistem kewangan Islam beretika, inklusif dan berdaya saing global, bukan sekadar mengejar prestij.
  • Terjemahkan idea menjadi dasar, produk dan amalan; perkasakan kerjasama cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan akademik.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kewangan Islam kekal inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

“Kita perlu menyuburkan kepimpinan pemikiran syariah (syariah thought leadership) yang bukan sahaja berakar umbikan tradisi, malah responsif dan tangkas mendepani realiti kontemporari,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan di Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 hari ini.

Tambah Perdana Menteri, Malaysia mempunyai peranan penting dalam memperkukuh ekosistem kewangan Islam global, bukan semata-mata mengejar prestij, tetapi bagi membangunkan sistem kewangan yang berpaksikan etika, keadilan dan ihsan.

Beliau berkata, kerangka MADANI menuntut keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab moral, termasuk antara keuntungan dan matlamat murni.

“Mari kita pastikan segala buah fikiran dan cetusan idea yang terhasil di sini diterjemahkan menjadi dasar, produk dan amalan yang mampu mengangkat martabat serta membela masyarakat,” katanya.

Katanya, iSHAR tidak seharusnya dilihat sekadar platform perbincangan, sebaliknya perlu menjadi wahana yang menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran sebenar dalam perbankan dan kewangan Islam.

Pada masa sama beliau turut menggesa kerjasama antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan dunia akademik diperkukuh bagi memastikan kewangan Islam terus relevan dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.