
PUTRAJAYA, 1 Oktober- Keperluan mahasiswa dan universiti turut diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2027, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Penyediaan belanjawan memerlukan tumpuan penuh untuk mengimbangi tuntutan pelbagai lapisan masyarakat.
- Belanjawan melibatkan ribuan persatuan, ratusan jabatan dan puluhan kementerian, setiap pihak mempunyai rasional masing-masing.
- Perhatian diberi kepada golongan seperti pesawah, nelayan, rumah Iban serta perkembangan bidang teknologi dan kecerdasan buatan.
- Anwar membatalkan hampir semua acara selama dua hingga tiga hari bagi memberi tumpuan kepada penyediaan Belanjawan 2027.
Beliau berkata penyediaan belanjawan kali ini memerlukan tumpuan sepenuhnya bagi mengimbangi pelbagai tuntutan dan keperluan daripada segenap lapisan masyarakat, jabatan serta kementerian.
“Belanjawan ini melibatkan semua, dengan ribuan persatuan, ratusan jabatan dan puluhan kementerian, dan semuanya mempunyai rasional masing-masing.
“Daripada pesawah di Kedah, nelayan di Terengganu, rumah Iban di Sarawak, hinggalah bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI), semuanya menuntut perhatian, termasuk mahasiswa dan universiti.
“Jadi, mudah-mudahan saya dapat sampaikan apa yang termampu dalam keterbatasan yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim
Datuk Seri Anwar berkata hampir semua acara yang dijadualkan dalam tempoh dua hingga tiga hari terpaksa dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada penyediaan Belanjawan 2027.