Mahasiswa perlu miliki integriti, berani tangani kepincangan masyarakat

Foto RTM

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Mahasiswa perlu dibentuk dengan nilai integriti dan keberanian menangani kepincangan dalam masyarakat bagi memastikan masa depan negara terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi pengajian tinggi perlu memupuk integriti, iman, akhlak dan jati diri bukan hanya kecemerlangan akademik.
  • Ilmu tanpa pembentukan sahsiah menyumbang kepada kepincangan; integriti mesti diasuh untuk elak penyertaan dalam skandal besar negara.
  • Mahasiswa Gen Z harus manfaatkan masa universiti membina keprihatinan, semangat khidmat dan keinginan membawa perubahan demi kepentingan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai berkenaan perlu diperkasa di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan mahasiswa yang berprinsip dan berintegriti apabila diberi tanggungjawab serta amanah pada masa hadapan.

Menurut beliau, mahasiswa tidak seharusnya mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh nilai keimanan, akhlak, sahsiah dan jati diri.

“Ketukan hati nurani yang menginginkan pembaharuan dan perubahan ke arah kebaikan itu penting. Tanpa kekuatan itu, kita akan mengenepikan permasalahan-permasalahan apa yang hak dan apa yang batil, apa yang makruf dan yang mungkar,”katanya.

Tambahnya, penglibatan golongan berpendidikan tinggi dalam beberapa skandal besar negara termasuk 1MDB, FELDA dan Tabung Haji membuktikan ilmu semata-mata tidak menjamin pembentukan peribadi dan integriti yang kukuh.

“Sebab itu bagi kita, pendidikan itu, seperti disebut oleh Menteri tadi, betul kita nak gapai yang di langit, tetapi mesti mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi dengan apa? Dengan iman, dengan akhlak, dengan sahsiah, dengan keperibadian, jati diri,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar mengingatkan mahasiswa supaya memanfaatkan tempoh pengajian di universiti untuk membina kesedaran dan keprihatinan terhadap nasib rakyat.

Katanya, generasi muda khususnya ‘Gen Z’ perlu mempunyai kesedaran tinggi serta semangat untuk berkhidmat dan membela kepentingan masyarakat.

“Saya percaya minat untuk khidmat, membela nasib, senang dengan kebaikan, benci dengan kebobrokan, harus ada di kalangan orang-orang muda.

“Saya anggap itu, apatah lagi tokoh siswa. Mengangkat kita sebagai satu barisan tokoh siswa tiap-tiap tahun, kita mengharapkan mutu bukan sahaja pendidikan dari segi akademik, tapi semangat, daya juang, dan keinginan membawa perubahan untuk menyelamatkan bangsa dan negara dari kebobrokan berterusan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.