
KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Sarawak menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menerusi pembangunan ekonomi hijau, yang memerlukan pengukuhan tenaga teknikal dalam pelbagai bidang berkaitan kelestarian.
- Keperluan tenaga teknikal untuk sokong tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan dan ekonomi kitaran.
- Profesional teknikal diperlukan untuk menterjemah agenda kelestarian daripada dasar kepada pelaksanaan.
- HPTN 2026 menghimpunkan 10 sektor teknikal, sekitar 238 reruai, 1,500 peserta pameran dan 5,000 pengunjung.
- Program di BCCK pada 1-2 Disember membuka peluang kerjasama, pasaran baharu dan pelaburan di Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata tenaga teknikal diperlukan bagi menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan, ekonomi kitaran serta pembangunan bakat hijau.
“Kami sedang memajukan ekonomi hijau menerusi tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan, ekonomi kitaran serta pembangunan bakat hijau.
“Kami juga telah menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 sempena MyASEAN Roads & Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Beliau berkata Sarawak memerlukan keupayaan teknikal termasuk jurutera, ahli teknologi, juruteknik, saintis, penyelidik, inovator dan usahawan bagi menterjemahkan agenda kelestarian daripada dasar kepada pelaksanaan.
Katanya, golongan profesional teknikal bukan sekadar terlibat dalam peralihan ke arah kelestarian, malah berperanan sebagai penggerak pelaksanaannya, khususnya dalam mendepani perubahan teknologi dan keperluan ekonomi masa depan.
HPTN 2026 dijangka menghimpunkan 10 sektor teknikal utama dengan penyertaan kira-kira 238 reruai pameran, 1,500 peserta pameran serta 5,000 pengunjung menerusi enam program persidangan utama.
Program itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 1 dan 2 Disember ini.
Penganjuran HPTN 2026 turut membuka ruang kepada pemain industri untuk meneroka kerjasama, pasaran baharu dan peluang pelaburan di Sarawak.