Kita semakin berilmu, tetapi adakah semakin beradab?

Foto janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ilmu tanpa adab boleh disalahgunakan; adab menjadi kompas moral menentukan bagaimana ilmu dan kuasa digunakan untuk kebaikan bersama.
  • Adab muncul dalam perbuatan kecil sehari hari: hormat, mendengar, menepati janji, memohon maaf dan tidak mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.
  • Ukur adab dengan tiga soal: layanan kepada yang tidak mampu, penggunaan kuasa, dan tindakan ketika tiada pemerhati; pendidikan serta dasar perlu menanam nilai MADANI.

Dalam dunia yang semakin mudah memberikan kita ilmu, kekayaan, pengaruh dan kuasa, cabaran terbesar bukan lagi sekadar menjadi manusia yang bijak, tetapi bagimana kita boleh memastikan segala yang dimiliki tidak menghilangkan adab dan nilai kemanusiaan.

Ironinya, mungkin kita sedang berada dalam zaman yang paling mudah dalam sejarah manusia untuk mendapatkan pelbagai ilmu pengetahuan. Misalnya, perkembangan pesat teknologi membolehkan buku, jurnal, kursus, kuliah, video, pandangan pakar dan pengalaman manusia dari seluruh pelosok dunia kini berada di hujung jari.

Pada masa sama, pendidikan pula semakin berkembang sehingga semakin ramai berjaya memperoleh sijil, diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah. Generasi hari ini juga semakin mahir menguasai teknologi, mengurus organisasi, membina perniagaan dan mencipta pelbagai inovasi.

Namun, di tengah-tengah kemajuan ilmu dan kemahiran itu, ada satu persoalan yang wajar kita renungkan bersama, iaitu apakah ilmu yang tinggi itu turut menjadikan kita semakin beradab?

Persoalan ini penting kerana ilmu dan adab bukanlah perkara yang sama. Ilmu memberikan kita pengetahuan tentang apa yang boleh dilakukan, manakala adab membantu kita memahami apa yang wajar dilakukan.

Selain itu, ilmu memberikan keupayaan, tetapi adab menjadi kompas moral kerana ilmu boleh membawa seseorang mencapai kedudukan yang tinggi, tetapi adab menentukan bagaimana kedudukan itu digunakan.

Sebab itu ungkapan “adab dulu, baru ilmu” masih relevan dan terus mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat. Hakikatnya, semakin tinggi ilmu yang dimiliki seseorang, semakin besar keperluannya kepada adab.

Tanpa adab, ilmu yang hebat boleh menjadi alat untuk mengejar kepentingan diri, mengukuhkan kuasa, mendapatkan pengaruh atau mencapai kekayaan tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain.

Secara umumnya, tidak salah untuk bercita-cita memiliki kehidupan yang lebih baik seperti peluang pekerjaan yang menjamin masa depan, pendapatan yang lebih tinggi, rumah yang selesa, perniagaan yang berjaya, kedudukan yang dihormati dan kehidupan yang stabil. Malah kita juga mahu anak-anak memperoleh pendidikan yang terbaik supaya mereka mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Namun, masalah bermula apabila ukuran kejayaan terhenti pada apa yang dimiliki dan tidak lagi mengambil kira siapa kita sebagai manusia. Persoalan penting di sini ialah, dalam perlumbaan menjadi “orang berjaya”, adakah kita terlupa untuk menjadi “orang yang baik”?

Sedar atau tidak, kita semakin pandai bercakap tentang kecemerlangan, produktiviti, pencapaian, kedudukan dan pengaruh, tetapi semakin jarang bertanya tentang sifat manusia yang berada di sebalik semua pencapaian itu. Kita mengagumi seseorang kerana jawatannya, kekayaannya, kelayakannya atau jumlah pengikutnya di media sosial.

Tetapi adakah semua itu cukup untuk memberitahu kita bahawa seseorang itu benar-benar mempunyai adab?

Sebenarnya, adab bukanlah sesuatu yang terlalu besar atau sukar untuk difahami kerana ia hadir dalam perkara-perkara kecil yang kita lakukan setiap hari.

Misalnya, menghormati orang yang lebih tua, menyantuni yang lebih muda, mendengar ketika orang lain bercakap, meminta maaf apabila melakukan kesalahan, mengucapkan terima kasih, menepati janji, tidak mengambil hak orang lain, menjaga amanah dan tidak menggunakan kelemahan seseorang untuk kepentingan diri sendiri adalah antara cerminan dan wajah adab yang dekat dengan kehidupan seharian kita.

Dalam keluarga, adab menentukan bagaimana kita bercakap dengan ibu bapa, pasangan, anak-anak dan saudara-mara. Dalam hubungan antara generasi, adab mengajar yang muda supaya menghormati pengalaman orang yang lebih tua, manakala yang lebih tua pula menghormati pandangan dan dunia generasi muda.

Perbezaan usia tidak seharusnya menjadi alasan untuk merendahkan antara satu sama lain. Hal ini penting kerana kita mungkin berbeza pengalaman, tetapi kita tetap mempunyai maruah yang perlu dihormati.

Cabaran adab dalam dunia komunikasi pula semakin besar kerana platform media sosial memberikan ruang kepada sesiapa sahaja untuk bersuara, tetapi kebebasan bersuara tidak wajar dianggap sebagai lesen untuk menghina orang lain.

Individu beradab akan sedar bahawa, kita boleh saja tidak bersetuju tanpa mencaci, boleh mengkritik tanpa menjatuhkan maruah, dan boleh mempertahankan pendirian tanpa menganggap orang yang berbeza pandangan sebagai musuh.

Begitu juga dalam dunia pekerjaan yang sangat mementingkan ilmu dan kemahiran untuk meningkatkan produktiviti organisasi dan penyampaian perkhidmatan yang yang cekap kepada pelanggan.

Sesebuah organisasi tidak akan menjadi tempat kerja yang baik hanya kerana mempunyai pekerja yang berkelayakan, sebaliknya kita memerlukan warga yang tahu menghormati rakan sekerja, berintegriti dan menjaga amanah, mengakui kesilapan, tidak mengambil kredit atas kerja orang lain dan tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan diri.

Maka timbul persoalan signifikan bagaimana kita hendak mengukur adab seseorang individu? Jujurnya kita mungkin tidak memerlukan satu formula yang rumit, sebaliknya cukup dengan tiga persoalan mudah yang boleh menjadi cermin untuk kita melihat diri sendiri.

Pertama, bagaimana kita melayan orang yang tidak mampu memberikan apa-apa kepada kita? Kedua, bagaimana kita menggunakan kuasa apabila kita memilikinya? Dan siapa kita ketika tiada siapa yang melihat? Jika seseorang mampu menjawab ketiga-tiga persoalan itu dengan jujur, mungkin di situlah kita mula memahami tahap adab yang dimilikinya.

Keupayaan dan keperluan untuk memiliki adab dan budi pekerti yang mulia tidak boleh diletakkan hanya di bahu individu. Ia perlu menjadi sebahagian daripada cara kita membina keluarga, sistem pendidikan, tempat kerja dan masyarakat.

Ibu bapa misalnya perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan anak-anak belajar sesuatu yang lebih asas iaitu bagaimana menghormati manusia, bagaimana mengurus perbezaan, bagaimana menerima teguran, bagaimana meminta maaf dan bagaimana menggunakan ilmu yang mereka miliki untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam konteks inilah gagasan Malaysia MADANI dilihat sangat signifikan kerana mampu membina masyarakat yang berilmu dan beradab. Enam nilai terasnya, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, bukan sekadar istilah dalam dasar atau ucapan, tetapi menjadi asas membentuk masyarakat yang lebih manusiawi.

Pembangunan negara tidak seharusnya diukur hanya melalui kekuatan data ekonomi, kemajuan teknologi dan kecanggihan infrastruktur, tetapi juga melalui kualiti manusia yang membentuknya. Nilai hormat mengajar kita meraikan perbezaan dan kemajmukan, manakala ihsan mengajak kita mengambil peduli serta berempati terhadap nasib orang lain.

Tuntasnya, kejayaan bukan sekadar tentang ilmu, harta atau kedudukan, tetapi tentang bagaimana semuanya digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain. Sudah tentu pada akhirnya kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak dan berkemahiran, tetapi tahu menghormati, menjaga amanah dan hidup dengan ihsan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menangani masalah krisis adab yang sedang dihadapi oleh masyarakat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.