
WREXHAM, 13 Februari – Wrexham meneruskan rentak mereka di Piala FA dengan kemenangan 1-0 ke atas Ipswich Town pada perlawanan pusingan keempat di Racecourse Ground manakala Chelsea menewaskan Hull City 4-0.
- Wrexham mara ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Ipswich Town 1-0 di Racecourse Ground.
- Josh Windass menjaringkan gol tunggal pada separuh masa pertama, membuktikan Wrexham lebih klinikal.
- Wrexham terus mencuri perhatian sejak dibeli Ryan Reynolds dan Rob McElhenney pada 2020.
- Chelsea menang besar 4-0 ke atas Hull City, dengan Pedro Neto mencetak hatrik.
Wrexham mengalahkan pasukan Liga Perdana, Nottingham Forest pada pusingan terakhir sebelum menewaskan pasukan divisyen dua, Ipswich, awal pagi tadi untuk mara ke pusingan kelima buat kali pertama sejak layak ke suku akhir pada musim 1996-1997.
Josh Windass menjaringkan satu-satunya gol perlawanan pada separuh masa pertama ketika Ipswich berusaha mencipta peluang namun Wrexham terbukti lebih klinikal.
Ipswich hanya mempunyai satu percubaan tepat ke arah gol.
Kelab Wales Utara, Wrexham, telah dibeli oleh pelakon Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney pada 2020 dan menunjukkan kebangkitan sehingga menarik perhatian global.
Sementara itu, Chelsea tampil garang apabila membelasah Hull 4-0 di Stadium MKM, hasil hatrik Pedro Neto.
Selepas terlepas beberapa peluang mudah, The Blues mendahului pada minit ke-40 dengan jaringan hebat daripada Neto.
Liam Delap mengumpan bola kepadanya di tepi kotak penalti dan pemain antarabangsa Portugal itu menjaringkan gol.
Pelawat menggandakan kelebihan pada minit ke-51 apabila sepakan sudut Neto terus menembusi beberapa pemain.
Kedudukan menjadi 3-0 pada minit ke-59 apabila Estevao menyepak masuk ke dalam gawang sebelum Chelsea menambah gol keempat pada minit ke-71 apabila Delap sekali lagi membantu Neto menjaringkan gol.
“Kami datang ke sini dengan satu tugas dan itu adalah untuk menang.
“Pedro Neto adalah pemain yang luar biasa. Dia bermain di posisi yang dia tidak biasa (di belakang penyerang) tetapi dia menunjukkan kualitinya,” kata Delap kepada TNT sports selepas hatriknya dalam bantuan gol. – REUTERS