fb fb fb fb fb

Kelantan FC serah dokumen tunggakan pembayaran gaji- MFL

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR, 1 Disember- Liga Bolasepak Malaysia, MFL mengesahkan Unit Pelesenan Kelab telah menerima dokumen berkenaan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan FC.

Bagaimanapun segala dokumen berkenaan melibatkan 30 pemain dan pegawai itu kini dalam proses semakan oleh First Instance Body (FIB).

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif MFL,Datuk Stuart Ramalingam, pengesahan pembayaran perlu dilakukan oleh FIB dengan semua pihak yang terlibat termasuk merujuk perkara itu dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia.

Beliau berkata, Kelantan FC juga perlu menghantar surat deklarasi membuktikan ia bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 berserta penyelesaian untuk kes-kes bersangkut keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember ini.

Jika Kelantan gagal di fasa pertama, ia secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025 sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE