
BARCELONA, 31 JuIai – Barcelona telah menerima aduan yang dikemukakan Atletico Madrid kepada FIFA berhubung dakwaan cuba mempengaruhi penyerang, Julian Alvarez, menurut sumber kelab Catalan itu pada Khamis.
- Atletico mendakwa Barcelona menghubungi Alvarez tanpa kebenaran untuk memujuknya mendesak perpindahan.
- Atletico turut mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF).
- Barcelona mengemukakan tawaran kepada Atletico untuk mendapatkan Alvarez dan akan terus mengekalkannya.
Penyerang Argentina berusia 26 tahun itu ketika kempen Piala Dunia berkata, sekiranya Atletico membenarkannya meninggalkan kelab, ia adalah keputusan terbaik untuk semua pihak, susulan minat mendalam yang ditunjukkan Barca bagi mendapatkan khidmat beliau.
Atletico mendakwa Barcelona menghubungi Alvarez tanpa kebenaran bagi memujuk pemain itu mendesak perpindahannya dari kelab berkenaan.
Presiden Barcelona, Joan Laporta, pada awal Julai lalu berkata, pihaknya telah mengemukakan tawaran kepada Atletico untuk mendapatkan Alvarez dan akan terus mengekalkan tawaran itu selagi dianggap sesuai.
Media Sepanyol melaporkan Atletico turut mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF).
Pada Jun lalu, Atletico dilaporkan menolak tawaran €150 juta euro (AS$172 juta dolar) daripada Real Madrid bagi mendapatkan Alvarez.
Tawaran itu dilihat sebagai strategi Presiden Real, Florentino Perez untuk menyukarkan sebarang rundingan perpindahan membabitkan Barcelona, selain menunaikan janji yang dibuatnya ketika kempen pemilihan presiden kelab.
Barcelona pula berharap dapat mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang berpengalaman, Robert Lewandowski, yang meninggalkan kelab pada penghujung musim lalu dengan membawa masuk Alvarez.
Alvarez menyertai Atletico Madrid dari Manchester City pada 2024 menerusi perpindahan bernilai sehingga €85 juta euro. – AFP