
SEPANG, 30 Julai – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo membela diri atas pertuduhan menerbitkan hantaran palsu berkaitan 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa menarik sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Perdana Menteri.
- Hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie; ketiga-tiga elemen pertuduhan terbukti.
- Mahkamah menolak hujah pembelaan bahawa bilangan saksi menentukan sama ada kes dibuktikan prima facie.
- Mahkamah menyatakan hantaran palsu boleh menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan negara.
- Timbalan Pendakwa Raya MCMC menegaskan Seksyen 233(1)(a) tidak bergantung kepada siapa yang mula-mula mencipta kandungan.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wan Muhammad Azri pada akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah berpuas hati ketiga-tiga elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan berdasarkan keterangan dan dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Ahmad Fuad turut menolak hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes hanya kerana memanggil dua saksi, sebaliknya berpandangan bilangan saksi bukan faktor penentu sama ada sesuatu kes berjaya membuktikan prima facie.
Beliau berkata hantaran palsu yang mendakwa 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar bukan sahaja berpotensi mengganggu ketenteraman awam, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Bayangkan kesan kandungan ini, bukan sahaja menimbulkan kegusaran orang ramai malah dalam konteks ini, ia menjejaskan pelabur. Jadi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen pertuduhan. Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 1, 2 dan 15 Sept ini untuk prosiding bela diri, manakala keputusan kes dijadualkan pada 22 Okt.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Faten Hadni Khairuddin menegaskan bahawa kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak bergantung kepada sama ada orang kena saman (OKS) ialah individu yang mula-mula mencipta kandungan tersebut.
“Tindakan OKS memuat naik kandungan palsu ke akaun Facebooknya sendiri, dengan niat yang dilarang undang-undang, sudah mencukupi untuk memenuhi elemen kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Peguam mewakili bekas Exco Pemuda UMNO itu, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam hujahannya berkata tiada bukti kukuh anak guamnya ialah individu yang membuat dan memulakan komunikasi palsu seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Keterangan saksi sendiri menunjukkan mesej itu telah pun tular di WhatsApp, menyebabkan elemen utama pertuduhan tidak dibuktikan dan tertuduh sewajarnya dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Wan Muhammad Azri, 42, membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu menggunakan akaun Facebook “Muhammad Azri” pada 28 Mei 2025, yang mengandungi maklumat palsu berhubung dakwaan 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar, dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu orang lain.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – BERNAMA