
PASIR MAS, 30 Julai – Seorang pemandu e-hailing ditahan selepas dipercayai membawa 540 botol baja organik jenama Thailand tanpa permit atau dokumen sah dalam operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Jeram Perdah, di sini, semalam.
- 540 botol baja organik jenama Thailand ditemui di belakang lori tanpa permit atau dokumen pengangkutan yang sah.
- Lori turut dirampas; keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM177,000.
- Kes diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Komander Briged Tenggara PGA, ACP Mohd Radzi Hussain, berkata penahanan dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang selepas anggota PGA menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong.
“Pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemukan 540 botol baja organik jenama Thailand, namun pemandunya gagal mengemukakan sebarang permit atau dokumen berkaitan barangan yang dibawa.
“Pemandu berusia 39 tahun itu ditahan bersama lori dan semua barang rampasan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Radzi berkata, lori yang digunakan untuk mengangkut baja berkenaan turut dirampas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM177,000.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menerima tempahan melalui aplikasi e-hailing untuk mengambil baja berkenaan di Kampung Nechang, Tumpat sebelum menghantarnya ke sebuah ladang di Gua Musang.
Katanya, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan bagi pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).