
RANTAU PANJANG, 30 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 25 ikat petai dan 255 kilogram (kg) limau bali dipercayai diseludup dari Thailand, bernilai RM13,825, di Kampung Lubok Gong, di sini, petang tadi.
- PGA menahan kenderaan selepas mengesannya dalam keadaan mencurigakan.
- Pemeriksaan menemui petai dan limau bali tanpa dokumen; pemandu warga Thailand ditahan.
- Kenderaan pengangkut hasil turut dirampas oleh PGA.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976; barang diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, ACP Mohd Radzi Hussain, berkata kereta itu ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas anggota PGA mengesannya dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan yang dipandu seorang lelaki warga Thailand itu menemukan 25 ikat petai bernilai RM5,000 dan 255kg limau bali bernilai RM3,825.
“Pemandu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan hasil pertanian yang dibawa sebelum ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Radzi berkata, kereta yang digunakan untuk mengangkut hasil pertanian itu turut dirampas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM13,825.
Siasatan awal mendapati semua hasil pertanian berkenaan dibawa masuk dari Thailand melalui Pengkalan Haram Posmen Lubok Gong sebelum dipercayai untuk dijual di pasar sekitar Rantau Panjang.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Manakala semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.