
KUALA LUMPUR, 22 April – Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, dengan sentimen pasaran kekal berhati-hati susulan ketidakpastian perkembangan gencatan senjata antara AS dan Iran.
- Lanjutan gencatan senjata tanpa pengesahan Iran mencetuskan mesej tidak konsisten, menambah ketidakpastian tetapi masih memberi harapan kompromi.
- Harga minyak mentah global meningkat kerana prospek penyelesaian konflik dilihat sukar dicapai.
- Indeks Dolar AS mengukuh; ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil sementara pelabur menunggu perkembangan konflik.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata lanjutan gencatan senjata tanpa pengesahan jelas daripada pihak Iran mewujudkan mesej tidak konsisten yang mendorong ketidakpastian pasaran, namun masih memberi harapan kepada kemungkinan kompromi antara kedua-dua pihak.
Pada pukul 8 pagi, ringgit berada pada paras 3.9495/9570 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah daripada penutupan sebelumnya.
Harga minyak mentah global terus meningkat apabila prospek penyelesaian konflik dilihat sukar dicapai, dengan West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing mencecah AS$89.67 dan AS$99.05 setong.
Di AS, jualan runcit meningkat melebihi jangkaan pada Mac, namun kenaikan itu didorong harga petrol yang lebih tinggi, sekali gus memberi isyarat tekanan terhadap kuasa beli pengguna.
Indeks Dolar AS (DXY) pula mengukuh kepada 98.414 mata, manakala ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil antara RM3.94 hingga RM3.96 hari ini sementara pelabur menunggu perkembangan lanjut konflik tersebut.-BERNAMA