MAHB peruntuk RM11 bilion naik taraf infrastruktur lapangan terbang dalam tempoh lima tahun

Foto RTM

SEPANG, 5 JunMalaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan kira-kira RM11 bilion perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memperluas dan memodenkan infrastruktur lapangan terbang di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan pelaburan fokus pada peluasan kapasiti, pembaharuan aset, peningkatan teknologi, penambahbaikan pengalaman penumpang dan inisiatif kelestarian di seluruh rangkaian lapangan terbang.
  • Projek pembangunan melibatkan KLIA, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu termasuk penggantian aset kejuruteraan, pemulihan turapan dan peningkatan utiliti untuk kebolehpercayaan operasi.
  • Procurement and Project Showcase diwujudkan untuk memperkukuh kesiapsiagaan ekosistem industri serta memberi peluang awal kepada kontraktor, pembekal dan rakan industri.

MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan, pelan pelaburan tersebut merangkumi peluasan kapasiti, pembaharuan aset, peningkatan teknologi, penambahbaikan pengalaman penumpang serta inisiatif kelestarian di seluruh rangkaian lapangan terbang kendaliannya.

Menurut MAHB, perbelanjaan yang dirancang itu akan menyokong pelbagai projek pembangunan lapangan terbang di seluruh negara termasuk kerja-kerja peluasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, selain usaha pembaharuan infrastruktur dan pemodenan teknologi.

“Selain itu, dalam aspek pembaharuan aset dan daya tahan operasi, sesi tersebut menampilkan program penggantian aset kejuruteraan di seluruh negara, kerja-kerja pemulihan turapan, peningkatan utiliti serta infrastruktur kritikal yang bertujuan memperkukuh kebolehpercayaan operasi, keselamatan dan daya tahan lapangan terbang dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan sama.

Kumpulan itu turut berhasrat untuk menambah baik pergerakan penumpang menerusi penstrukturan semula terminal, penambahbaikan aliran trafik, peningkatan sistem pengendalian bagasi serta kemudahan lapangan terbang yang lebih baik.

Pelan tersebut diumumkan semasa penganjuran julung kali Procurement and Project Showcase MAHB, yang turut memperkenalkan Pelan Pembangunan KLIA bagi jangka panjang untuk menampung pertumbuhan jumlah penumpang melebihi 100 juta orang setahun pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, platform itu diwujudkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan ekosistem industri infrastruktur penerbangan.

“Apabila projek infrastruktur lapangan terbang menjadi semakin besar dan kompleks, keseluruhan ekosistem industri juga perlu berkembang seiring.

“Melalui platform ini, kami mahu memberikan gambaran lebih jelas mengenai peluang yang bakal diwujudkan supaya kontraktor, pembekal dan rakan industri dapat membuat persediaan lebih awal serta meningkatkan keupayaan mereka dengan lebih yakin,” katanya dalam kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.