
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pendekatan menempatkan pemain badminton kebangsaan yang belum berkahwin di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara bukanlah satu perkara baharu.
- Peraturan ketat penting untuk mengelakkan gangguan dan mengekalkan fokus pemain semasa latihan.
- Kawalan ketat bertujuan memastikan atlet memberi komitmen 100 peratus di gelanggang.
- BAM profesional, memberi ruang keluar makan dan aktiviti tertentu sambil mengekalkan jadual latihan yang padat.
Sebaliknya, ia merupakan formula lama yang terbukti berkesan dalam mengekalkan prestasi atlet.
Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei mendedahkan peraturan tersebut sangat penting bagi mengelakkan fokus para pemain ketika sesi latihan terjejas.
Khe Wei, yang pernah melonjak hingga ke kedudukan ranking kesembilan dunia bersama gandingannya Vivian Hoo, menjelaskan bahawa kawalan ketat itu bertujuan memastikan para atlet memberikan komitmen 100 peratus di gelanggang.
“Pada zaman saya sebagai pemain pun kami tidak boleh tinggal di luar. Ia bagi memastikan pemain lebih berdisiplin.
“Kalau tinggal di luar dan belum berkahwin, mungkin ada yang keluar berjalan-jalan, tidur lewat atau melakukan perkara yang boleh mengganggu latihan. Semua itu akan mempengaruhi kualiti latihan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran TIGA SAGA Cup 2026 di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai isu kesihatan mental dan kebimbangan sekiranya peraturan itu mencetuskan tekanan, pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu berpendapat para pemain tidak seharusnya berasa terbeban memandangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa bertolak ansur dan bersikap profesional.
“Pemain mungkin rasa tertekan kerana berada di sana 24 jam, tetapi saya rasa BAM juga memberi ruang kepada pemain untuk keluar makan dan melakukan aktiviti tertentu.
“Pemain mungkin rasa tertekan kerana berada di sana 24 jam, tetapi saya rasa BAM juga memberi ruang kepada pemain untuk keluar makan dan melakukan aktiviti tertentu. Sebenarnya ketika bergelar pemain, jadual latihan sudah cukup padat. Kalau terlalu banyak aktiviti di luar, keesokan harinya memang susah untuk bangun dan memberi fokus kepada latihan,” katanya.
Sebelum ini, legenda badminton negara yang juga Datuk Seri Lee Chong Wei yang Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap tahap disiplin sebilangan pemain kebangsaan dan menuntut persekitaran yang lebih terkawal demi memacu semula kegemilangan sukan badminton tanah air di pentas tertinggi dunia.