Khe Wei yakin Zi Yu-Noraqilah mampu lolos kelompok 10 terbaik dunia

gandingan muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Skuad badminton wanita negara kini berada pada landasan perkembangan yang positif dengan perhatian serta keutamaan pembangunan yang jauh lebih seimbang berbanding sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Woon Khe Wei memuji gandingan muda Low Zi Yu-Noraqilah sebagai berani, istimewa dan menarik untuk ditonton.
  • Beliau pesan pasangan perlu tingkatkan konsistensi dan ketahanan mental untuk bersaing dalam kelompok 10 terbaik dunia.
  • Pendedahan serta kemenangan berterusan dalam kejohanan kompetitif dijangka menjadi pemangkin peningkatan prestasi tanpa jangka masa tertentu.

Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei berkata, situasi itu berbeza dengan era suatu ketika dahulu yang mana tumpuan lebih banyak diberikan kepada kem lelaki.

“Sekarang skuad wanita negara juga sedang berkembang. Saya nampak usaha untuk membangunkan pemain wanita semakin baik berbanding sebelum ini”, katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran TIGA SAGA Cup 2026 di sini, hari ini.

Bekas pemain yang pernah melonjak ke ranking kesembilan dunia itu percaya, barisan pemain muda negara memiliki potensi besar untuk membawa badminton wanita Malaysia ke tahap lebih tinggi, sekiranya terus memamerkan peningkatan positif dan keyakinan di pentas antarabangsa.

Beliau secara peribadi memuji prestasi yang dipamerkan gandingan muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang disifatkannya mempunyai corak permainan yang menarik untuk disaksikan.

“Saya memang suka tengok mereka bermain. Mereka ada cara permainan yang sangat istimewa dan berani. Mereka tidak terlalu takut untuk mencuba sesuatu ketika berada di gelanggang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menitipkan pesanan agar pasangan berkenaan meningkatkan aspek konsistensi selain memperkukuhkan ketahanan mental sekiranya mahu mencabar status pasangan terbaik dunia.

“Saya rasa permainan mereka perlu lebih konsisten. Pada peringkat antarabangsa, semua pemain mempunyai kualiti yang tinggi.

“Mereka perlu lebih yakin dan lebih kuat dari segi mental untuk bersaing dalam kelompok 10 terbaik dunia,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh masa yang diperlukan bagi pasangan itu untuk mencapai tahap kematangan, beliau enggan meletakkan sebarang jangka masa tertentu.

Namun begitu, beliau percaya pendedahan dan kemenangan dalam kejohanan kompetitif secara berterusan akan menjadi pemangkin utama dalam melonjakkan kualiti permainan mereka.

“Saya tidak boleh cakap berapa lama lagi. Tetapi jika mereka lebih berani bermain dan menang lebih banyak pertandingan, tahap mereka akan meningkat.

“Yang paling penting ialah mereka terus kompetitif dan mengekalkan perkembangan yang ada,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.