
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Malaysia sedang menangani ‘jurang’ kawal selia yang dibangkitkan laporan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).
- Kerajaan menegaskan mempunyai rangka perundangan domestik komprehensif yang melarang penggunaan buruh paksa.
- USTR memulakan dua siasatan berkaitan kapasiti berlebihan dan import barangan berunsur buruh paksa.
- USTR mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia tetapi keputusan muktamad masih tertakluk kepada proses siasatan.
- Malaysia akan terus mengadakan libat urus dan hadir sesi pendengaran untuk mengemukakan pendirian serta melindungi kepentingan perdagangan negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerusi kenyataan menjelaskan Malaysia mempunyai rangka kerja perundangan domestik yang komprehensif melarang penggunaan buruh paksa.
“Dapatan USTR tidak bermakna Malaysia mengamalkan buruh paksa dan tidak mencerminkan keadaan pasaran buruh di negara ini.
“Laporan USTR mendapati Malaysia belum mempunyai undang-undang larangan import khusus untuk menyaring barangan serta bahan mentah dari negara ketiga yang mempunyai unsur buruh paksa. Kerajaan juga giat berusaha menangani jurang import berkenaan.
“USTR telah memulakan dua siasatan terhadap Malaysia pada 11 dan 12 Mac berkaitan kapasiti berlebihan dan kegagalan menangani import barangan yang mengandungi unsur buruh paksa.
“Sebagai maklum balas kepada siasatan itu, Malaysia mengemukakan penjelasan rasminya pada 15 April lepas dan menghadiri perbincangan dengan USTR pada 12 Mei,”menurut kenyataan.
Pada 2 Jun lepas, USTR menerbitkan dapatan itu di bawah siasatan Seksyen 301 mengenai penggunaan buruh paksa melibatkan Malaysia dan mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia selepas tamat tempoh tarif yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 pada 24 Julai 2026.
“Tiada keputusan tarif muktamad yang telah dibuat kepada Malaysia memandangkan cadangan tarif 10 peratus itu masih tertakluk dengan proses siasatan dan penentuan rasmi oleh USTR.
“Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan USTR sepanjang proses berkenaan, termasuk semasa sesi pendengaran bagi mengemukakan pendiriannya dan melindungi kepentingan perdagangan negara,”menurut kenyataan itu lagi.