
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) menerbitkan Sukuk Biru bernilai RM720 juta, menjadikannya terbitan sukuk biru terbesar dunia bagi pembiayaan infrastruktur air.
- Terbitan dilaksanakan melalui Pengurusan Air SPV Bhd di bawah Program Kertas Komersial Islam sedia ada bernilai RM2 bilion.
- Permintaan kukuh dari pelabur institusi; langganan mencapai RM770 juta, lebihan 1.54 kali berbanding saiz awal RM500 juta.
- Hasil terbitan akan membiayai projek SIFF termasuk loji rawatan air di Melaka, Tok Bali Kelantan dan Skim Bekalan Air Sultan Iskandar Johor.
Menurut kenyataan PAAB, terbitan tersebut dilaksanakan menerusi Pengurusan Air SPV Bhd di bawah Program Kertas Komersial Islam sedia ada bernilai RM2 bilion.
”Terbitan di bawah Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan (SIFF) PAAB ini mendapat permintaan kukuh daripada pelabur institusi dengan langganan mencecah RM770 juta, menjadikan jumlah lebihan langganan sebanyak 1.54 kali berbanding saiz terbitan awal RM500 juta,” jelas kenyataan itu.
Hasil terbitan yang akan diterima pada 3 Ogos ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek yang layak di bawah SIFF, termasuk Loji Rawatan Air Jernih di Melaka, Loji Rawatan Air Tok Bali di Kelantan serta Skim Bekalan Air Sultan Iskandar di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar berkata, kejayaan terbitan itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kekuatan kredit syarikat, pengurusan kewangan yang berhemat serta strategi pembiayaan mampan jangka panjang.
”PAAB akan terus menggerakkan modal mampan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam mampan, di samping memperkukuh sekuriti bekalan air negara dan menyokong agenda pembangunan mampan,” jelasnya.
PAAB merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).