
TANJUNG MALIM, 31 Julai – Setiap dasar automotif negara perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem industri termasuk pembangunan infrastruktur.
- Kerajaan tidak mahu mendahului pasaran; dasar mesti dilaksana serentak dengan ekosistem sokongan penuh.
- Perlu infrastruktur pengecasan awam mencukupi untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan tempoh pengecasan sekitar 20 hingga 30 minit.
- Hasil yang dikutip dan pengecualian cukai perlu disalurkan semula untuk membangunkan infrastruktur EV.
- Pelaburan asing mesti menyumbang pemindahan teknologi, memperkukuh vendor tempatan dan mencipta peluang pekerjaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan kerajaan tidak mahu mendahului pasaran dengan dasar yang hanya menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) tanpa menyediakan ekosistem sokongan yang lengkap.
“Pembangunan industri EV perlu disokong dengan penyediaan infrastruktur pengecasan awam EV yang mencukupi bagi meningkatkan keyakinan pengguna kepada teknologi tersebut.
“Di Malaysia, kita telah membelanjakan sejumlah besar melalui pengecualian cukai, tetapi masih belum mempunyai infrastruktur yang setanding.
“Maka, kita perlu memikirkan bagaimana hasil yang dikutip pada masa hadapan boleh disalurkan semula untuk membangunkan infrastruktur EV.
“Kita mahu satu hari nanti rakyat boleh memandu dari Johor hingga ke Perlis dengan mengetahui lokasi setiap pengecas awam EV. Di setiap lokasi pula perlu ada kapasiti pengecasan yang mencukupi dan tempoh pengecasan hanya sekitar 20 hingga 30 minit, bukannya enam hingga lapan jam,”katanya selepas pelepasan model pemasangan tempatan (CKD) Proton eMAS7 PHEV di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan mengamalkan pendekatan jangka panjang dalam merangka dasar supaya pulangan dan manfaat yang lebih besar dapat dicapai pada masa hadapan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, setiap pelaburan asing yang dibawa masuk ke Malaysia perlu memberikan manfaat kepada ekonomi domestik menerusi pemindahan teknologi, pengukuhan vendor tempatan serta penciptaan peluang pekerjaan.
“Pembangunan industri automotif bukan perkara yang mudah. Ia memerlukan pembangunan bakat, teknologi dan kerjasama strategik.
“Jika Malaysia mahu dikenali sebagai negara pembangun teknologi, kita memerlukan rakan kongsi yang mampu membawa teknologi ke negara ini,”katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan semua pengimportan kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) tertakluk kepada dua syarat utama mulai 1 Julai, antaranya termasuk had kuasa motor minimum yang diselaraskan daripada 200 kilowatt (kW) kepada 180kW dan ke atas, selain nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) sebanyak RM200,000.