Industri semikonduktor terus catat prestasi kukuh


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 April – Industri semikonduktor Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada gangguan besar; rantaian bekalan kekal stabil dan eksport terus mencatat pertumbuhan positif.
  • Permintaan kuat dalam sektor elektrik dan elektronik menyokong prestasi, dengan eksport E&E meningkat lebih 26 peratus.
  • SME-MNC Connect Day galak kerjasama MNC dan PKS, selaras Strategi Semikonduktor: sasaran 10 syarikat AS$1 bilion dan 100 syarikat RM1 bilion.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata setakat ini tiada gangguan besar yang menjejaskan operasi industri berkenaan.

Menurut beliau, rantaian bekalan kekal stabil dan eksport mencatat pertumbuhan positif.

“Setakat ini kita melihat kesan gangguan kepada rantaian bekalan adalah sangat terhad. Malah, eksport kita sebenarnya terus meningkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SME-MNC Connect Day 2026 di sini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Seri Wong Siew Hai pula berkata, prestasi kukuh industri turut disokong permintaan memberangsangkan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Pada tahun 2025, nilai eksport E&E adalah sekitar RM711 bilion. Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, kita sudah mencatat peningkatan lebih 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Bagi suku pertama 2026, sektor E&E negara merekodkan nilai eksport sebanyak RM203.02 bilion dengan pertumbuhan 26.7 peratus.

Penganjuran SME-MNC Connect Day 2026 bertujuan menggalakkan kerjasama lebih erat antara syarikat multinasional (MNC) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memperkukuh daya tahan serta kecekapan rantaian bekalan industri semikonduktor negara.

Usaha itu selaras aspirasi Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang menyasarkan pembangunan 10 syarikat tempatan berpendapatan AS$1 bilion serta 100 syarikat dengan hasil RM1 bilion.