
KUALA LUMPUR, 28 April – Cadangan menurunkan cukai jalan kenderaan diesel mampu membantu kelangsungan sektor logistik dan rantaian bekalan dalam mendepani kenaikan harga bahan api ketika ini.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharom berkata, langkah itu penting bagi mengelak peningkatan kos operasi dipindahkan kepada keseluruhan ekosistem ekonomi termasuk pengguna.
- PERDASAMA: turunkan cukai jalan untuk menghalang kos operasi dipindahkan kepada ekosistem ekonomi dan pengguna.
- Cadangan bantuan bersasar dan pengecualian cukai alat ganti wajar dipertimbangkan bagi meringankan kos operasi syarikat.
- Pakar: kurangkan fokus kepada kos operasi harian pengguna selain potongan cukai jalan.
- Perdana Menteri meminta Kementerian Pengangkutan meneliti pengurangan kadar cukai jalan kenderaan diesel.
“Langkah ini sangat tepat dalam keadaan tekanan harga diesel yang tinggi ketika ini. Kita juga memahami bahawa negara masih belum beralih sepenuhnya kepada tenaga lebih cekap seperti hidrogen dan bateri,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau turut berpandangan, pemberian bantuan bersasar serta pengecualian cukai ke atas alat ganti kenderaanwajar dipertimbang bagi membantu meringankan kos operasi syarikat.
Sementara itu, pakar automotif Hezeri Samsuri berkata, cadangan tersebut turut memberi kelegaan kepada pemilik kenderaan diesel individu melalui bayaran cukai jalan tahunan yang lebih rendah.
Namun, beliau berpandangan langkah tambahan perlu dipertimbangkan memandangkan beban utama pengguna datang daripada kos operasi harian.
Pada masa sama, beliau memohon agar kerajaan turut mempertimbangkan alternatif selanjutnya bagi mengurangkan beban pemilik kenderaan yang telah berdepan kenaikan harga diesel dengan ketara.
”Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel memang membantu pemilik yang terjejas.
“Cuma cukai jalan adalah kos tahunan, jadi saya berharap kerajaan dapat memberi fokus kepada usaha menurunkan kos operasi harian kenderaan diesel bagi pengguna individu,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri meminta Kementerian Pengangkutan meneliti langkah menurunkan kadar cukai jalan kenderaan diesel bagi mengurangkan beban pengguna susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis bekalan global.