Projek RM1.1 bilion: SPRM rakam percakapan penganalisis politik

Saksi diminta hadir semula pukul 10 pagi Rabu

PUTRAJAYA, 29 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa merakam percakapan seorang penganalisis politik yang juga merupakan saksi dalam siasatan kes sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saksi hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi maklumat dan membantu melengkapkan siasatan.
  • Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar, mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
  • Saksi dilepaskan pada pukul 6.30 petang dan diminta hadir semula pukul 10 pagi Rabu; SPRM telah beri tempoh dua minggu sejak 1 April.

Menurut sumber, saksi itu hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini bagi memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan.

“Saksi itu tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Saksi berkenaan telah dilepaskan pada pukul 6.30 petang dan diminta hadir semula pada pukul 10 pagi Rabu.

Pada 1 April lepas, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada saksi berkenaan untuk tampil membantu siasatan.