
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter dijangka memberi impak positif secara menyeluruh kepada masyarakat serta komuniti perniagaan.
- Mengurangkan kos pengangkutan dan logistik, membantu perniagaan mengurus aliran tunai dengan lebih baik.
- Menstabilkan harga barang dan perkhidmatan melalui kawalan kos operasi.
- Membolehkan peniaga mengekalkan harga jualan tanpa membebankan pengguna.
- Memulihkan margin keuntungan khususnya bagi IKS, perkhidmatan penghantaran dan industri pembinaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Che Aniza Che Wel ketika menyuarakan pandangan melihat, penyelarasan itu turut berupaya mengurangkan kos pengangkutan dan logistik, sekali gus membantu meningkatkan aliran tunai perniagaan.
“Kos pengangkutan dan logistik menjadi lebih rendah kerana perbelanjaan bahan api bagi kenderaan perdagangan dapat dikurangkan yang dilihat membantu perniagaan mengurus aliran tunai dengan lebih baik,”katanya dalam hantaran video kepada RTM.
Penurunan kos bahan api itu turut berpotensi menstabilkan harga barang dan perkhidmatan.
“Dengan kos operasi yang lebih terkawal, peniaga berpeluang untuk mengekalkan harga jualan tanpa perlu membebankan pengguna.
“Langkah itu juga dijangka membantu peniaga memulihkan margin keuntungan khususnya perusahaan yang bergantung kepada penggunaan diesel,”katanya lagi.
Sektor perusahaan kecil dan sederhana (IKS), perkhidmatan penghantaran barang serta industri pembinaan antara yang dijangka menerima manfaat paling ketara penurunan harga diesel.