260 syarikat Bumiputera Wilayah Utara mohon pembiayaan TERAJU

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid (enam kanan), Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (lima kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi (empat kiri), bergambar bersama penerima pembiayaan strategik pada Program Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di Butterworth / Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 23 Jun – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menerima sebanyak 260 permohonan pembiayaan daripada syarikat Bumiputera di Wilayah Utara yang mahu mengembangkan perniagaan masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • TERAJU meluluskan pembiayaan RM134 juta kepada 143 syarikat Bumiputera di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
  • Kementerian Ekonomi, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama untuk merealisasikan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035.
  • Program TERAJU Aspirasi Outreach membantu usahawan Bumiputera mendapat maklumat bantuan, pembiayaan dan fasilitasi bagi mengembangkan perniagaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, jumlah permohonan itu mencerminkan keyakinan usahawan Bumiputera terhadap pelbagai inisiatif dan kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan menerusi TERAJU.

Menurutnya lagi, bagi tempoh 1 Disember 2024 hingga 31 Mei lalu, TERAJU telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM134 juta kepada 143 syarikat Bumiputera di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri, perlu bekerjasama melalui program Teraju untuk memastikan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), bukan hanya sekadar kertas dasar.

Ia adalah satu pelan dan pemetaan bagi memastikan usahawan Bumiputera memanfaatkan ruang dan peluang untuk mereka mengembangkan perniagaan, terutamanya dengan keadaan ekonomi yang sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid di Pusat Konvensyen PICCA, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi.

Sementara itu, beliau berkata program TERAJU Aspirasi Outreach memberi peluang kepada usahawan Bumiputera mendapatkan maklumat mengenai pelbagai bantuan, pembiayaan dan fasilitasi yang disediakan kerajaan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan serta mencapai sasaran yang digariskan di bawah PuTERA35.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.