Ekuinas perkukuh pemantauan risiko hadapi ketidaktentuan ekonomi global

Foto hiasan / Laman web Ekuinas

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan terus memperkukuh langkah pemantauan dan pengurusan risiko syarikat di bawah portfolionya susulan ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan terhadap landskap perniagaan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaksanakan pelan kesinambungan, ujian tekanan portfolio, panggilan pemantauan mingguan dan pertemuan lebih kerap dengan syarikat portfolio untuk meningkatkan daya tahan.
  • Menilai secara berterusan impak kenaikan harga tenaga terhadap inflasi dan rantaian bekalan bagi menyesuaikan strategi pengurusan risiko.
  • Menyokong seni dan keusahawanan melalui pameran 'Alir' dan program ILTIZAM, fokus pada pembangunan mampan, pendidikan dan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, pihaknya sentiasa menilai perkembangan semasa secara berterusan, khususnya melibatkan peningkatan harga tenaga yang memberi kesan langsung kepada inflasi serta rantaian bekalan.

Menurut beliau, Ekuinas mengambil pendekatan proaktif menerusi pelaksanaan pelan kesinambungan perniagaan, terutama dalam aspek pemantauan syarikat pelaburan di bawah portfolio syarikat itu.

“Di peringkat Ekuinas sendiri, kami turut menjalankan ujian tekanan terhadap portfolio secara berkala.

“Kami juga mengadakan panggilan pemantauan setiap minggu dan kini bertemu syarikat-syarikat portfolio dengan lebih kerap berbanding sebelum ini bagi memastikan kami dapat terus meningkatkan daya tahan dalam mendepani tempoh mencabar ini,” katanya kepada pemberita RTM.

Tambah beliau, pelbagai pelarasan turut dilaksanakan bagi memperkukuh daya tahan syarikat, melibatkan aspek pendapatan kasar, pengurusan kos, kerjasama strategik serta proses operasi mengikut keperluan dan cabaran setiap syarikat.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pameran ‘Alir’, yang merupakan kemuncak kepada Program Residensi Seni ILTIZAM Seni (Kitaran 3) di SARENG Gallery, baru-baru ini.

Pameran tersebut menampilkan 22 karya seni baharu hasil sentuhan empat artis Bumiputera muda yang menamatkan program residensi selama lima bulan.

Menurut beliau, program itu memberi penekanan terhadap penerokaan kreatif serta pemantapan kefahaman dalam aspek perniagaan seni.

Program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada inisiatif ILTIZAM dalam menyokong pembangunan mampan merentas bidang keusahawanan, pendidikan dan komuniti.