
PETALING JAYA, 10 Mei – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) digesa untuk memanfaatkan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) bagi memperkukuh operasi dan meluaskan capaian pasaran.
- Penyelarasan Kementerian Digital dan Kewangan menyelesaikan isu pengeluaran dana geran, memulihkan keyakinan rakan pendigitalan dan PMKS.
- Penggunaan penyelesaian digital kini keperluan untuk meningkatkan daya saing, ketahanan dan pertumbuhan ekonomi.
- PIKOM mahukan penyaluran geran lebih teratur, telus dan tepat masa; komited bekerjasama dengan kerajaan, industri dan PMKS.
Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menerusi kenyataan berkata, ia susulan penyelesaian isu berkaitan pengeluaran dana geran tersebut, hasil penyelarasan Kementerian Digital dan Kementerian Kewangan.
Jelas PIKOM, langkah intervensi itu telah memberikan kelegaan kepada rakan pendigitalan dan PMKS yang komited untuk memacu ekonomi digital Malaysia.
”Tindakan susulan itu berjaya memulihkan keyakinan serta mengukuhkan kepentingan pelaksanaan berkesan dalam inisiatif digital yang diterajui kerajaan.
”Setelah isu itu berjaya diselesaikan, PIKOM amat menggalakkan PMKS untuk meneruskan usaha transformasi digital bagi memperkukuh operasi dan meluaskan capaian pasaran,” jelas persatuan itu.
Menurut PIKOM, penggunaan penyelesaian digital kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi meningkatkan daya saing, daya tahan dan pertumbuhan dalam ekonomi masa kini.
Pada masa sama, PIKOM berharap penyaluran geran pada masa hadapan dapat diperkemas, lebih telus dan dilakukan tepat pada masanya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Proses yang jelas dan pelaksanaan yang boleh dipercayai amat penting untuk mengekalkan momentum industri serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai hab digital yang dipercayai dan berdaya saing.
PIKOM juga menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, rakan industri dan PMKS dalam memacu usaha pendigitalan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem.