
HULU LANGAT, 10 Mei – SME Corp Malaysia komited memperkukuh sokongan kepada usahawan tempatan yang berdepan peningkatan kos operasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.
- Program pembiayaan disediakan untuk membantu usahawan mengurus modal kerja dan modal pusingan perniagaan.
- Persatuan perniagaan melaporkan kenaikan kos pengangkutan, perkapalan dan insurans, memberi impak besar kepada usahawan eksport.
- Inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 termasuk Program Dana Pemangkin menawarkan pinjaman bersama rebat untuk modal kerja.
- Program TUBE-S bantu usahawan belia bumiputera berkembang, tingkat daya saing; RM12 juta disalurkan kepada 500 peserta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata antara usaha yang digerakkan termasuk penyediaan program pembiayaan bagi membantu usahawan mengurus modal kerja dan modal pusingan perniagaan.
Menurutnya, langkah itu penting susulan terdapat maklum balas daripada persatuan perniagaan berhubung kenaikan kos tertentu termasuk kos pengangkutan, perkapalan dan insurans khususnya bagi usahawan yang terlibat dalam aktiviti eksport.
“Untuk itu, kita mempunyai beberapa program tertentu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, termasuk Program Dana Pemangkin.
Melalui program ini, usahawan boleh mendapatkan pinjaman bersama rebat bagi membantu keperluan modal kerja dan modal pusingan,” ujarnya.
“Apabila mereka memohon kemudahan modal kerja ini, ia dapat membantu mengurangkan tekanan akibat kenaikan kos yang berlaku,” katanya selepas Majlis Peluncuran Penutup Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) dan Program Tunas Usahawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PROTAS MAIWP) 2026 di sini.
Program TUBE-S merupakan platform untuk membantu usahawan belia bumiputera mengembangkan perniagaan, meningkatkan daya saing dan bergerak daripada perusahaan mikro kepada skala lebih besar.
Tahun ini, SME Corp memperuntuk sebanyak RM12 juta kepada 500 usahawan belia bumiputera menerusi program berkenaan.