Lelaki diupah RM80 seludup makanan sejuk beku

Kira-kira 135 peket sosej sejuk beku dirampas dipercayai diseludup di Rantau Panjang, Kelantan malam tadi/Foto PGA Tenggara

RANTAU PANJANG, 3 Jun – Seorang lelaki dipercayai diupah RM80 bagi setiap penghantaran penyeludupan makanan sejuk beku ditahan dalam serbuan di Pengkalan Haram Yasin, Lubok Gong, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA tahan suspek 32 tahun selepas mengesan kereta mencurigakan kira-kira pukul 9 malam.
  • Anggota menemui 135 peket sosej sejuk beku bertulisan Thailand di tempat duduk penumpang belakang.
  • Suspek dipercayai aktif menyeludup makanan sejuk beku beberapa tahun menggunakan kenderaan milik ibunya.
  • Sebuah kereta turut dirampas, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,700 dan diserahkan kepada Kastam.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 malam selepas mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan pengkalan haram berkenaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta dipandu suspek, anggota PGA menemukan 135 peket sosej sejuk beku bertulisan Thailand di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan berkenaan.

“Semasa serbuan dijalankan, beberapa lelaki lain bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA, namun pemandu kereta berjaya ditahan.

“Pasukan operasi sebelum itu melihat beberapa individu memunggah barangan dari sebuah perahu ke dalam kereta terbabit di kawasan pengkalan haram berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata pihaknya turut merampas sebuah kereta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,700.

Katanya, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan penyeludupan makanan sejuk beku sejak beberapa tahun lalu menggunakan kenderaan milik ibunya.

“Semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.